Takaful buat si bulus - Utusan Malaysia

Takaful buat si bulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN manusia sahaja memerlukan perlindungan takaful, haiwan peliharaan seperti kucing, turut mempunyai perlindungan khas sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan. 

Kekerapan mengunjungi klinik veterinar membuatkan Elmanda Zuhairy,35, tertarik mencarum bagi produk perlindungan haiwan peliharaan miliknya itu. 

Beliau mengetahui tentang pelan perlindungan itu selepas disyorkan doktor veterinar yang merawat kucingnya. 

“Saya ambil caruman untuk tiga kucing yang dibela di rumah. 

“Saya rasa jimat juga apabila carum insurans untuk kucing sebab dapat menampung kos vaksin bulanan,” katanya kepada Seri. 

Elmanda menetap di Cyberjaya turut menggalakkan individu yang memiliki kucing untuk membuat caruman bulanan dalam pelan perlindungan haiwan kesayangan mereka. 

“Manusia tidak dapat menjangka sebarang risiko yang boleh berlaku atau penyakit kritikal dihidapi haiwan peliharaan. 

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Sekiranya kemalangan atau ditimpa penyakit kritikal seperti buah pinggang rosak, sudah tentu kosnya jauh lebih mahal berbanding memiliki insurans,” katanya. 

PERTAMA DI ASIA 

Baru-baru ini Zurich Malaysia (Zurich) mengumumkan kerjasama sulung dengan Oyen, platform insurans haiwan peliharaan, memperkenalkan produk takaful kucing yang pertama, iaitu Oyen Takaful Kucing. 

Ia bertujuan memenuhi peningkatan permintaan terhadap perlindungan takaful haiwan peliharaan serta menetapkan piawaian baharu untuk pemilik haiwan peliharaan di negara ini. 

Produk berkenaan menawarkan perlindungan komprehensif sehingga RM8,000 untuk kos rawatan haiwan yang tidak dijangka apabila kucing pelanggan jatuh sakit atau mengalami kecederaan. 

Keunikan tawaran ini terletak pada permohonan, pemprosesan dan penjejakan tuntutan yang lancar melalui aplikasi Oyen yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI). 

Ini menjamin penilaian yang pantas sekali gus menjadikan pengalaman pemilik haiwan lebih mudah. 

Perlindungan itu akan membolehkan pemilik haiwan peliharaan mendapatkan penjagaan veterinar yang berkualiti tinggi untuk teman kesayangan mereka. 

Produk patuh syariah ini memberikan pemilik haiwan peliharaan pelan perlindungan yang selaras dengan prinsipprinsip Islam dan nilai-nilai perkongsian perlindungan dan tanggungjawab bersama. 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Shamsul Azman berharap ia dapat mencetuskan impak dalam industri insurans dan takaful haiwan peliharaan negara ini. 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Oyen dalam memperkenalkan produk takaful kucing pertama Asia. 

“Produk ini sejajar dengan perkembangan keperluan pemilik haiwan peliharaan dan menyokong komitmen terhadap inovasi dan penyelesaian dalam mengutamakan pelanggan,” katanya. 

KERJASAMA OYEN 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Oyen, Kevin Hoong berkata, sebagai peneraju insurans haiwan peliharaan di negara ini, pihaknya berbangga melihat pertumbuhan signifikan dalam segmen ini sejak dilancarkan pada 2021. 

Melalui tawaran takaful baharu ini diharapkan dapat membantu lebih ramai pemilik haiwan peliharaa mendapatkan penjagaan veterinar berkualiti tinggi, setaraf negara maju seperti UK, Jepun dan Sweden. 

Kerjasama berkenaan melambangkan langkah penting dalam memberikan keyakinan kepada pemilik haiwan peliharaan sekaligus membuatkan mereka berasa tenang dengan memiliki perlindungan.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.