Tak semua berani lantang bersuara, Kaka Azraff kena kuat - Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

Tak semua berani lantang bersuara, Kaka Azraff kena kuat – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad,31, meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa rakan artis, Kaka Azraff yang menjadi mangsa kecaman penyokong Zionis di media sosial.

Menurut Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, apa yang dilalui Kaka adalah antara risiko yang terpaksa ditanggung kerana lantang menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Malah, Uyaina turut meletakkan dirinya sebagai contoh terdekat artis yang menerima kecaman yang sama hanya disebabkan dia berani bersuara mengenai kekejaman Zionis terhadap saudara Islam di Palestin.

“Kepada Kaka, jangan rasa ‘demotivated’. Ini adalah sebahagian daripada jihad. Yang penting kita tahu niat sebenar kita untuk beri kesedaran kepada orang ramai dan menjadi suara kepada yang tidak mampu untuk bersuara.

“Saya rasa tak ramai orang yang berani untuk lantang bersuara seperti Kaka. Saya harap dia terus kuat,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Rico Rinaldi x Good Virtues Co, semalam.

Terdahulu, kelantangan Kaka menghentam rejim zionis telah menarik perhatian Jew Hate Data Base yang dipercayai dikendali dan disokong oleh warga Israel.

Selain itu, menurut Uyaina, dia mengakui terdapat segelintir golongan selebriti termasuk pempengaruh yang berasa takut untuk bersuara mengenai isu Palestin lebih-lebih lagi dalam kebimbangan bahawa tindakan itu akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Macam saya, akaun Tik Tok saya telah disekat. Tipulah kalau saya tak rasa sayang. Tetapi tak mengapa. Akaun boleh buat yang baru.

“Tetapi kita tak boleh nafikan bahawa ada saja individu yang bergantung dengan akaun media sosial untuk menjana pendapatan.

“Disebabkan itu mereka jadi takut untuk bersuara mengenai isu Palestin,”katanya.

Sementara itu, Uyaina berkata, dia juga kini tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana jenama atau produk yang berkaitan dengan Israel selaras dengan prinsip dirinya dalam mempertahankan solidariti bersama Palestin.

Malah, akui Uyaina, ekoran keputusan yang telah dibuat, ada beberapa kerjasama yang pernah dilakukan terpaksa dibatalkan dengan baik.

“Ada antara kerjasama sebelum ini yang menyaksikan sesi penggambarannya telah pun siap. Cuma tunggu untuk muatnaik sahaja di media sosial. Tetapi saya rasa tidak sesuai untuk dikongsikan ketika Palestin sedang berperang.

“Maka saya beritahu pihak berkenaan, bahawa saya tak boleh teruskan. Syukur Alhamdulillah mereka faham dengan situasi saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN