PETALING JAYA: Notis yang tular kononnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan terhadap pemandu pengangkutan awam yang membawa warga asing tanpa dokumen sah adalah palsu.
Menafikan perkara itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, notis yang tular dalam aplikasi WhatsApp tersebut bukanlah dikeluarkan oleh Imigresen sebaliknya dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa kita tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pemandu kenderaan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.
“Kita sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pemandu tersebut didapati memberi perlindungan kepada warga asing, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang.
“Dalam hal ini, JIM tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Pada masa sama, kita memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang maklumat yang belum tentu kesahihannya,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini,” katanya. – UTUSAN