SPRM, Petronas lapor terus kepada Agong

SPRM, Petronas lapor terus kepada Agong

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas)melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong berbanding kepada Parlimen seperti amalan selama ini.

Bakal Yang di-Pertuan Agong Ke-17 itu mengesyorkan sedemikian bagi memastikan dua ins­titusi penting negara tersebut bebas daripada campur ta­ngan badan eksekutif.

Dalam temubual eksklusif bersama The Straits Times Si­ngapura semalam, Sultan Ibrahim juga mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini, dihidupkan semula.

Berhubung cadangan SPRM melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, baginda bertitah, langkah tersebut bermakna SPRM tidak berada di bawah pengaruh mana-mana badan eksekutif.

“Jika datang kepada Agong, bermakna anda tidak berada di bawah pengaruh mana-mana pihak eksekutif. Malah Petronas pun tidak sepatutnya berada di bawah Parlimen, lapor terus kepada saya,” titah baginda dalam temuramah tersebut.

Yang di-Pertuan Agong Ke-17

Sultan lbrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024 selepas Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober bersetuju memilih baginda.

Pelantikan baharu itu menggantikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk kepemimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah, menghentikan amalan rasuah adalah komitmen baginda sebaik sahaja memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula awal tahun depan.

“Ramai menyumbang ratusan juta ringgit sebelum pilihan raya. Bagaimana anda membayar mereka kembali? Memberikan mereka projek mega? Itu tidak akan berlaku apabila saya di situ. Sayang sekali, siapa yang meminta anda memberi.

“Daripada moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Saya akan pastikan apabila saya pergi memburu, saya membawa balik hasil yang bagus. Tetapi apabila saya di Kuala Lumpur nanti, ia adalah hutan konkrit, jadi apa yang saya buru? Saya akan memburu semua orang yang korup. Saya akan pastikan saya membawa hasil,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Ibrahim mencadangkan pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada cabang eksekutif bagi memastikan badan kehakiman negara ini benar-benar bebas.

“Kami hanya mendapat senarai itu (daripada Pejabat Perdana Menteri) semasa Majlis Raja-Raja bersidang. Mengapa anda tidak menyenaraikan nama-nama calon yang layak (kepada kami) sebelum anda melantik? Kami bukan rubber stamp,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga mahu menghapuskan amalan tradisi penganugerahan pingat Hari Wilayah Persekutuan yang mana baginda mahu menilai senarai penerima anugerah kebesaran itu sendiri.

“Saya telah membatalkan keseluruhannya. Beri saya masa. Pada 1 Februari adalah hari kedua di pejabat. Biarkan saya lihat senarai itu tiga bulan lebih awal dan kenapa orang ini patut dilantik. Apakah kriterianya di sini?” titah baginda.

HSR Kuala Lumpur-Singapura

Sementara itu, Sultan Ibrahim mahu rancangan HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan, dihidupkan semula dan mempunyai beberapa idea bagi mengembalikan projek berkenaan.

Titah baginda, projek itu boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta yang mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.

“Saya akan berusaha melakukannya (menghidupkannya semula). Jika kekal dengan cadangan pertama, kosnya tidak akan meningkat begitu banyak. Namun kerana on-off-on-off, hari ini ia (kos) akan lebih banyak,” titah baginda yang merujuk kepada anggaran kos awal RM72 bilion HSR apabila projek itu mula diumumkan pada 2013.

Titah baginda, jaringan rangkaian HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura perlu dihubungkan dengan lintasan sempadan melalui Forest City iaitu pembangunan hartanah bermasalah di Johor.

Pada 8 Mac lalu, kerajaan Malaysia dilaporkan berkata, ia terbuka untuk menghidupkan semula HSR, tetapi tidak akan membiayai pembinaan projek itu.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kemampuan menerajui pentadbiran negara selepas setahun dilantik mentadbir kerajaan Pusat.

“Saya tidak fikir anda boleh ubah negara dalam tempoh setahun. Saya fikir terdapat menteri yang baik seperti Anthony Loke (Menteri Pengangkutan). Saya akan menyokong kerajaan, tetapi jika sesuatu tidak betul, saya akan memaklumkan kepada mereka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak nampak wujud masalah untuk bekerjasama dengan Anwar kerana mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

“Beliau kadangkala walaupun tengah malam hubungi saya, untuk minta nasihat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN