KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 20 November lalu berakhir apabila satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir beroperasi ditutup malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, tiga sekeluarga yang menjadi mangsa banjir terakhir di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu pulang ke rumah mereka setelah air surut sepenuhnya pada pukul 11 malam tadi.
“Ketika ini, semua PPS telah pun ditutup untuk banjir gelombang pertama namun, kita tetap bersiap siapa dengan risiko banjir gelombang kedua yang akan bermula bila-bila masa,” katanya.
Penduduk Terengganu juga diminta lebih berhati-hati kerana Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) pada pukul 2.30 petang semalam.
Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut, Setiu dan Kuala Nerus) bermula hari ini hingga Ahad (3 Disember).
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan semua ada sungai yang kembali menunjukkan trend menaik berikutan hujan lebat berterusan malam tadi.
Stesen bacaan di Sungai Nerus di Kampung Langkap daerah Setiu menunjukkan rekod setinggi 20.43 meter berbanding paras amaran 20.0 meter.
Stesen bacaan Sungai Nerus di Kampung Bukit juga masih melepasi paras waspada iaitu 10.66 meter berbanding paras waspada 10.5 meter.
Selain itu, Sungai Chalok di Jambatan Chalok yang terletak di daerah Setiu juga merekodkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 7.33 meter (paras waspada 7.0 meter). – UTUSAN