PETALING JAYA: “ Saya dari dulu memang lantang bersuara. Tetapi bukan semua isu dan kontroversi orang saya nak tapau. Biarlah ada ilmu dan fakta.”
Itu jawapan pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad berhubung kecaman yang melabelnya sebagai ‘terpaling’ lantang berhubung beberapa isu yang pernah disuarakan sebelum ini.
Jelas Uyaina, dia tidak akan bercakap tentang isu atau kontroversi yang tidak ada kena mengena dengannya malah, lebih senang mengulas sesuatu dalam keadaan bersedia dengan fakta dan ilmiahnya.
“Saya faham, mungkin ada yang baru tahu tentang kelantangan saya terutama selepas isu Palestin. Tetapi jujurnya, saya sudah vokal dari dulu lagi, tidaklah ‘terpaling’ lantang.
“Saya bukan mahu jadi pengulas untuk semua isu. Ada beberapa isu yang saya boleh dan akan bercakap. Contohnya Palestin dan isu bahasa Melayu baru-baru ini.
“Ada juga isu contohnya after party pelajar luar negara. Saya maklum dengan isu tetapi tak mahu mengulas kerana di luar bidan dan kepakaran saya,” ujar pengacara Wanita Hari Ini itu.
Biarpun lantang berhubung isu penindasan Israel terhadap Palestin, Uyaina bersyukur kerana dia tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak namun reda dengan beberapa projek yang harus ditarik balik.
“Setakat ini, tidak apa pula mana-mana pihak menolak atau memberhentikan kerjasama. Tidak ada tindakan apa-apa. Saya tidak mengaibkan pihak lain kecuali menyatakan fakta.
“Akaun TikTok saya disenarai hitam, tak mengapa. Ada juga beberapa kandungan digital yang telah siap dirakam dan sunting tetapi perlu dibatalkan atas beberapa perkara.
“Rugi banyak, tetapi saya anggap tiada rezeki. Saya bersuara untuk Islam,” ujarnya.-UTUSAN