BAGAN SERAI: Peniaga makanan di Parit Haji Aman dan Parit Haji Tahir di sini mendakwa perniagaan mereka terjejas berikutan bau busuk dari kebun sayur yang diusahakan etnik Rohingya menggunakan tinja atau najis ayam sebagai baja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga makanan, Osman Basrie, 52, berkata, bau busuk dari sebuah kebun sayur yang terletak lebih kurang 10 meter dari kedainya amat menganggu keselesaan penduduk.
Menurutnya, bau yang amat meloyakan dari kebun tersebut menyebabkan pelanggan tidak selesa untuk makan.
Katanya, sejak mengusahakan perniagaan itu 30 tahun lalu, dia tidak pernah menghadapi masalah itu.
“Masalah ini berlaku sejak kebun sayur ini menggunakan tinja ayam sebagai baja untuk tanaman. Apa yang saya tahu, kebun sayur ini diusahakan oleh etnik Rohingya.
“Saya bukan nak mempersoalkan siapa pemilik atau pengusaha kebun tersebut tetapi lebih kepada penggunaan baja tinja ayam yang menyebabkan bau busuk hingga pelanggan yang datang untuk makan tidak selesa, ini mengakibatkan perniagaan saya terjejas,” katanya.
Menurutnya, selain bau, penggunaan baja tinja ayam juga menyebabkan kehadiran lalat di kedainya.
“Saya terpaksa mengeluarkan modal untuk membeli alat perangkap lalat supaya serangga perosak itu tidak masuk dalam makanan yang dijual sekali gus tidak mengganggu pelanggan yang datang ke kedai,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di kebun sayur tersebut mendapati kebun itu menggunakan baja tinja ayam yang ditabur di atas batas tanah untuk tanaman pokok daun sireh, kangkung dan bendi.
Seorang etnik Rohingya yang dikenali Mohamad Ayas mengakui dia yang mengusahakan kebun sayur tersebut.
Dia turut mengaku menggunakan tinja ayam sebagai baja namun berjanji tidak akan menggunakan lagi baja itu. – UTUSAN









