Revolusi foto montaj - Utusan Malaysia

Revolusi foto montaj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA itu fotomontaj? Fotomontaj adalah seni kolaj dengan teknik atau proses menggabungkan beberapa imej, gambar atau visual dengan memotong, menyusun dan menampal pelbagai elemen untuk mencipta komposisi baharu.

Ia adalah teknik seni yang popular dengan sejarah yang panjang melibatkan penampalan gambar berbeza ke dalam satu imej.

Seni ini adalah salah satu teknik yang telah bertahan hampir sejak kelahiran fotografi itu sendiri. Hasil daripada tampalan tersebut, ia dipotret kembali supaya menjadi gambar tunggal yang sempurna.

Dari sejarahnya pula, teknik ini dimulai ketika jurufoto Oscar Rejlander yang dikenali sebagai orang yang pertama kalinya menciptakan fotomontaj. Karya pertamanya fotomontajnya adalah The Two Ways of Life yang dihasilkan pada tahun 1857.

Kemudian diikuti oleh jurufoto, Henry Peach Robinson dengan karyanya Fading Away yang dihasilkan pada 1858 dengan foto yang menggabungkan lima negatif filem yang berbeza bagi menggambarkan saat-saat kematian seorang gadis muda dengan dikelilingi ahli keluarganya yang bersedih.

Walaupun hanya dalam bentuk khayalan, ramai orang sezaman mengkritik subjek itu sebagai terlalu menyakitkan untuk disampaikan dengan menarik melalui seni fotografi.

Teknik fotomontaj ini seterusnya menjadi alat komunikasi yang kuat dalam bidang seni visual melalui hasil-hasil karya termasuk Hannah Hoch dan John Heartfield. Sejak itu, montaj kekal popular dalam kalangan yang bekerja dengan pelbagai gaya dan imej berbeza.

Fotomontaj juga menjadi popular untuk menyampaikan protes atau perbezaan pendapat politik dengan imej yang berkualiti yang tidak masuk akal atau janggal hasil gabungan imej propaganda atau publisiti dengan petikan daripada akhbar, majalah dan gambar.

Teknik dan proses kerja fotomontaj adalah secara manual melalui gambar dipotong dan digabungkan untuk membentuk satu imej baharu sebelum terlahirnya perisian reka bentuk digital wujud.
Pada era digital, seorang jurufoto dengan lebih mudah menghasilkan seni fotomontaj dengan pelbagai jenis perisian fotografi seperti Adobe Photoshop.

Fotomontaj digital ternyata lebih menghidupkan pemandangan imaginasi dengan menggunakan imej sedia ada tanpa tampalan atau potongan. Ia memberi peluang untuk kita mencipta karya seni lebih daripada apa sahaja yang ada dalam fikiran seperti kita membayangkan berada di planet lain.

Dengan perkembangan serta sejarah luar biasa, seni fotomontaj adalah genre yang ideal untuk membina kemahiran dalam reka bentuk digital kerana melaluinya tiada apa yang tidak boleh digambarkan dengan menjadi kreatif pada hasil seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya