Reman tiga polis terbabit operasi Mini Dhaka disambung

Reman tiga polis terbabit operasi Mini Dhaka disambung berkaitan kes curi duit RM85,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman tiga anggota polis dipercayai terlibat kes kecurian wang tunai berjumlah RM85,000 dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lebuh Pudu dekat sini, Khamis lalu disambung bagi siasatan lanjut. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. 

Tegas beliau, polis tidak akan melindungi terhadap mana-mana anggota dan pegawai yang ditomah berkaitan apa-apa dakwaan. 

“Tempoh reman mereka (tiga) tamat hari ini namun kita akan minta sambung.

“Saya nak tegaskan bahawa kita buat serbuan pada 21 Disember dan mendapat maklumat ada insiden tiga anggota terbabit, kita terus siasat dan buat tangkapan jadi tiada isu hendak lindungi anggota atau pegawai.  

“Saya mengambil penegasan Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Hussain) bahawa polis tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana anggota yang ditomah, kalau ada asas kita tangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini. 

Ayob nerkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita akan sambung reman, kemudian akan lengkapkan siasatan berkaitan kes ini,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga anggota terbabit disambung reman sehingga 29 Disember ini. 

“Mereka disambung empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Ahad lalu, Allaudeen mengesahkan tiga anggota direman empat hari bagi membantu siasatan dalam kes curi duit RM85,000 dalam operasi khas PDRM di Lebuh Pudu.

Allaudeen dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.36 tengah malam pada 22 Disember lalu berkaitan kehilangan wang tersebut. 

Susulan itu, katanya, seramai tiga anggota polis berusia lingkungan 26 tahun hingga 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut ditahan.

Jumaat lalu, tular laporan polis berkaitan kes kehilangan wang RM85,000 didakwa dicuri anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut daripada sebuah premis di Lebuh Pudu.

Laporan itu menyatakan pemilik premis iaitu warga tempatan berusia 36 tahun mendakwa semasa berada di kedainya pada 21 Disember lalu mendapati wang tunai hasil jualan milik syarikat berjumlah RM85,000.00 yang disimpan dalam almari telah hilang. 

Laporan itu mendakwa pemilik premis kemudiannya telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis mendapati tiga lelaki berpakaian celoreng polis telah memasuki premisnya.

Laporan itu mendakwa, melalui penelitian CCTV turut memaparkan kelibat ketiga-tiga lelaki memasuki premis tersebut dan telah melakukan penggeledahan.

Laporan mendakwa, soal siasat awal kepada ketiga-tiga mereka mengaku mengambil duit tersebut di dalam almari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya