PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Unit Litigasi Khas, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Raja Rozela Raja Toran mengetuai pelantikan sembilan individu sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuat kuasa hari ini.
Beliau merupakan bekas Ketua Pasukan Pendakwaan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Raja Rozela, 58, yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II AGC menerima surat cara pelantikan daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan termasuk timbalan pendakwa raya, penolong pengarah Biro Bantuan Guaman dan peguam persekutuan.
Raja Rozela pernah mengendalikan beberapa pendakwaan kes berprofil tinggi termasuk kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan.
Sebelum ini, media melaporkan, Raja Rozela memohon bersara awal mulai 1 November lalu.
Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan pula memaklumkan, Raja Rozela mengemukakan permohonan bersara awal pada 3 April lalu.
Sementara itu, bekas peguam Arziah Mohamed Apandi, 48, yang juga anak bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut dilantik memegang jawatan itu.
Arziah merupakan antara tujuh bekas peguam yang dilantik ke jawatan itu dan menerima surat cara pelantikan serta mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Mereka ialah Datuk Hazizah Kassim, 51, Kan Weng Hin, 61, Mohd. Rosli Yusoff, 51, Gan Techiong, 58, Suriyati Hasimah Mohd. Hashim, 58, dan Saiful Azian Mokhtar, 51.
Sementara itu, Maslinda @ Linda Mohd. Ainal, 49, yang sebelum ini adalah Ketua Unit Penswastaan dan Pengurusan Kontrak, Bahagian Penasihat, AGC turut dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.
Turut hadir pada majlis itu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.-UTUSAN