Projek bina jambatan jejaskan peniaga

Projek bina jambatan jejaskan peniaga

SUHAIMI Mat Saad mendakwa menanggung kerugian sejak projek pembinaan semula Jambatan Manjalara yang menghadang kedainya di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 30 peniaga di Medan Putra, Seberang Jalan Putra, di sini resah dan tertekan dengan mendakwa berterusan mengalami kerugian sejak pembinaan semula Jambatan Manjalara, kira-kira lapan bulan lalu.

Pengerusi Peniaga-Peniaga Medan Putra, Parwez Ahmad Nesan Ahmad berkata, ketika ini mereka belum jelas mengenai jalan penyelesaian yang mahu dilaksanakan pihak berwajib sedangkan pendapatan masing-masing terjejas hampir 90 peratus.

Katanya, sebahagian daripada premis di situ ibarat ‘mati’ sepenuhnya terutama kedai-kedai menghadap jalan utama yang kini sedang melalui proses pengubahsuaian serta pembinaan.

“Penghadang projek itu diletakkan betul-betul di depan kedai, jadi siapa yang nak datang ke premis kami? Kalau pelanggan nak datang ke kedai pun, mereka perlu melalui koridor yang cukup sempit dan tidak selesa.

“Perniagaan kami di sini cukup terjejas hingga ada dalam kalangan rakan-rakan peniaga gulung tikar,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut di sini, semalam.

Parwez berkata, mereka dimaklumkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempunyai perancangan untuk memindahkan kesemua 36 peniaga ke lokasi lain bagi mengatasi masalah itu.

“Pada awalnya, mereka kata cuma 18 peniaga akan dipindahkan ke lokasi berhampiran. Alhamdulillah, bangunan baharu bagi menempatkan 18 orang ini sudah siap tetapi masih ternanti-nanti juga bila masing-masing boleh berpindah masuk.

“Selain itu kami tertanya-tanya di mana 18 lagi peniaga di sini hendak ditempatkan? Sedangkan apabila kami melihat blueprint projek pembinaan di sini, kedai kami sudah tidak lagi wujud pada masa depan,” katanya.

Sementara itu seorang peniaga kedai runcit, Suhaimi Mat Saad, 56, mengakui perniagaannya terjejas hingga ada hari tidak dapat membuat jualan.

“Dulu kedai ini menghadap jalan utama dan jualan saya mampu mencecah RM300 atau RM400 sehari. Tetapi sekarang apabila kedai kami ‘ditutup’ dengan penghadang projek, kerap sangat saya pulang dengan tangan kosong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×