Program empowerNCER Akademik tingkat karisma guru SPM 2023

Program empowerNCER Akademik meningkatkan karisma guru SPM 2023

MAJLIS perasmian Program empowerNCER dilaksanakan secara atas talian pada 10 Disember lalu melalui Google Meet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDAH: Kaedah motivasi dalam membentuk karisma guru yang positif amat bersesuaian dengan keperluan mendidik pelajar bagi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dan terbilang.

Program empowerNCER Akademik telah memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) melalui bantuan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Program ini turut memberi manfaat kepada guru-guru yang turut terlibat dengan penyediaan pelbagai program yang dirangka khusus.

“Program empowerNCER Akademik ini direka khas oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan tujuan mengurangkan kadar kemiskinan masa hadapan melalui pendidikan.

Meskipun program ini memfokuskan kepada penglibatan pelajar-pelajar, kerjasama dan komitmen daripada guru turut dititiberatkan agar pelaksanaan program ini dapat dijayakan,” kata Pengurus Pejabat NCIA Negeri Kedah, Zairemy Mohd. Yunus.

UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. telah diberi mandat untuk melaksanakan Program empowerNCER Akademik Batch 3 – Pakej 1 tahun 2023 bagi Negeri Perlis dan 12 daerah di Kedah iaitu Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Sik.

Program “The H.E.A.R.T Of GIVING” Siri 2 adalah kesinambungan daripada Program “The H.E.A.R.T Of GIVING” Siri 1 yang telah diadakan pada Mei 2023.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu pembangunan sahsiah guru-guru bagi meningkatkan tahap kemahiran, motivasi, pengajaran dan penyampaian yang lebih berkesan seiring dengan cabaran- cabaran karakter pelajar dewasa kini.

Di samping itu, program ini memfokuskan kepada kaedah dan cara membantu para guru dalam memahami jiwa para pelajar bagi memastikan kaedah pembelajaran dapat disampaikan dengan baik.

Program ini telah melibatkan lebih 500 orang guru dari Kedah dan Perlis yang menjadi tenaga pengajar dalam program ini bagi memperkasakan penguasan dan peningkatan pencapaian akademik bagi lima subjek teras bagi memastikan pelajar yang terlibat dalam program ini mendapat keputusan yang lebih baik dan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023.

Majlis Perasmian Program ini dilaksanakan secara atas talian pada 10 Disember lalu melalui Google Meet yang telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Emir Hisham Md. Hashim.

Turut Hadir Ketua Penolong Pengarah Bahasa, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Shahida Basir dan Penolong Pengarah Program, UniSZA Consultancy Sdn. Bhd, Muhammad Zul Ihsan Hussin.

Sementara itu, Emir Hisyam berharap guru-guru yang terpilih agar menghargai peluang yang diberikan kepada mereka.

Katanya, semoga dengan komitmen, dedikasi dan sinergi positif yang berterusan, guru-guru dan empowerNCER Akademik Kedah dan Perlis mampu membuahkan hasil dalam mencapai objektif peningkatan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar serta dapat menyuntik motivasi dan mengukuhkan lagi komitmen untuk terus cemerlang pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN