PETALING JAYA: UMNO menyifatkan keputusan kalah atau menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam bukan alasan dalam meneruskan perjuangan membela nasib rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana adat pertandingan ada kala menang dan kadangkala kalah.
Justeru, katanya, ketika menang jangan angkuh dan ketika kalah jangan kecewa.
“Insya-Allah kita bina kembali kekuatan, kepercayaan dan keyakinan serta meneruskan perjuangan yang belum selesai demi Islam, bangsa dan negara tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Pas mempertahan kerusi Kemaman dalam PRK Parlimen itu dengan majoriti besar, 37,220 undi.
Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sekadar mendapat 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh Menteri Besar itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menzahirkan ucapan tahniah kepada Pas atas kemenangan besar parti itu semalam.
Menurut beliau, kemenangan itu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) kekal mempertahan 69 kerusi Parlimen ketika ini manakala Kerajaan Perpaduan kekal didukung 152 Ahli Parlimen.
“Tiada apa-apa perubahan kepada Kerajaan Perpaduan. Sekarang boleh fokus segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara.
“Buat semua pengundi setia BN, terima kasih banyak kerana masih meyakini perjuangan ini.
“Buat seluruh jentera BN seluruh negara yang bertungkus-lumus di Kemaman selama lebih 14 hari, sekalung penghargaan setingginya atas usaha dan ikhtiar,” katanya. – UTUSAN