PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes wanita warga emas yang ditemukan mati dipercayai ditikam ekoran isu sewa rumah di dalam keretanya di Taman Ehsan Kepong, dekat sini, Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan, ia dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Lapan suspek yang ditahan masih dalam tahanan reman. Kita masih melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan lapan orang susulan wanita warga emas ditemukan mati dipercayai ditikam di dalam keretanya di Taman Ehsan Kepong, di sini, Khamis lalu.
Orang awam yang berada di lokasi menemukan mangsa dalam keadaan berdarah di dalam kereta sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi sebelum menemukan mangsa mati di dalam kereta.
Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek berkaitan sewa rumah, yang mana mangsa menyewakan rumahnya kepada suspek serta rakan-rakannya.- UTUSAN