Polis jalani ‘lakonan semula’ kehilangan Zayn Rayyan di lokasi

Polis jalani ‘lakonan semula’ kehilangan Zayn Rayyan di lokasi kejadian

PASUKAN Forensik membuat pemeriksaan di Blok R yang menempatkan kediaman keluarga kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan rutin pencarian bahan bukti berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang memasuki hari kelapan.

Menurut salah seorang petugas forensik, agenda unit berkenaan hari ini bertujuan ‘reconstruct’ atau lakonan semula pada lokasi kejadian iaitu di sekitar anak sungai bagi mengumpul bahan bukti.

Lakonan semula itu dikatakan bermula dari anak tangga Blok R Apartmen Idaman yang menghala ke sungai sehingga ke kawasan sungai di mana mangsa dijumpai merujuk kepada dua saksi kanak-kanak.

Lakonan semula itu mengambil masa kira-kira empat jam yang bermula pada pukul 11.30 pagi sehingga pukul 3.30 petang melibatkan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.

Selain itu, beberapa pegawai PDRM turut dilihat mengambil keterangan tambahan beberapa penduduk yang mendiami kawasan itu bagi membantu siasatan.

Lebih 15 petugas Unit Forensik PDRM dipercayai terlibat dalam pencarian bahan bukti sekitar kawasan blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai dan sekitar anak sungai berhampiran kawasan mayat yang ditemukan pada 6 Disember lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga kenderaan unit forensik hadir pada pukul 9.45 pagi dan 11.25 pagi sebelum memulakan misi pencarian bahan bukti.

Semalam, pihak PDRM menjumpai sehelai stoking dalam air bertakung di sekitar anak sungai berhampiran kawasan mayat kanak-kanak autistik terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti stoking itu adalah milik Zayn Rayyan atau sebaliknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN