PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ‘turun padang’ ke Kelantan esok bagi meninjau sendiri situasi banjir yang disifatkannya semakin membimbangkan di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook miliknya yang sebelum ini bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin untuk membincangkan isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, antara isu yang sempat dibangkitkan adalah berkenaan keadaan banjir di kawasan Pantai Timur.
“Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan Insya-Allah, esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa negeri yang mencatatkan pemindahan mangsa paling tinggi setakat pagi ini adalah Kelantan dengan 17,733 orang dipindahkan ke 86 PPS membabitkan 5,674 keluarga.
Menurut laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pasir Mas adalah kawasan paling teruk terjejas apabila mencatatkan 12,393 mangsa dipindahkan ke 35 PPS yang diaktifkan.
Di Terengganu pula, seramai 10,419 mangsa yang terdiri daripada 2,933 keluarga dipindahkan ke 119 PPS di tujuh daerah seluruh negeri.
Setakat ni, daerah paling teruk terjejas adalah di Hulu Terengganu apabila mencatatkan pemindahan 3,206 mangsa, namun, angka tersebut dilaporkan tidak berubah berbanding semalam. -UTUSAN