Pilihan raya PBT hakis kuasa politik Melayu-Islam - Tuan Ibrahim

Pilihan raya PBT hakis kuasa politik Melayu-Islam – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuasa politik Melayu-Islam didakwa akan terhakis sekiranya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, DAP tidak pernah berhenti memperjuangkan hasrat itu bagi merealisasikan agenda mereka menguasai bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan besar dan juga pusat ekonomi rakyat.

Bagaimanapun, dakwanya, pilihan raya PBT membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar jika ia diadakan.

“Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis.

“Keputusan kerajaan semenjak 50 tahun dahulu yang memansuhkan pilihan raya PBT ini sepertimana jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 amatlah tepat.

“Ia antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lepas, media melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur, mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dilapor, akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan tersebut kerana ia dibawah bidang kuasa kementerian itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya bimbang dengan kenyataan Zaliha itu yang membuka laluan perbincangan untuk melaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Sepatutnya, katanya, perkara itu tidak perlu diberi perhatian dan agenda kesejahteraan rakyat bandar patut menjadi fokus utama beliau.

“Kenyataan Menteri Wilayah ini seolah-olah menunjukkan kerajaan Madani tunduk dengan desakan DAP.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) harus menghentikan agenda ini jika mahu rakyat melihat bahawa Kerajaan Madani tidak ditekan oleh DAP.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dalam agenda seperti ini kerana bimbang bila kita terlalu baik bertolak ansur, lama-lama kita ditolak beransur-ansur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya