SIK: Seorang pesara guru meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika membantu program perkhemahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeneri di sini, pagi semalam.
Mangsa, Nasaruddin Darus, 56, dari Jalan Hospital Kampung Caruk Kemuning dikatakan rebah kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di kantin sekolah tersebut.
“Hasil siasatan, isteri mangsa, Intan Sapina Yusup, 47, memberitahu dia menerima panggilan daripada salah seorang guru memaklumkan suaminya telah tidak sedarkan diri pada pukul 10 pagi.
“Sebaik sampai di sekolah, dia dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal termasuk pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati mendapati tiada unsur jenayah atau khianat.
“Lelaki itu telah bersara sejak sembilan bulan lalu dan mempunyai penyakit darah tinggi dan gout.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan dan didapati negatif,” ujarnya.
Tambahnya, pihak hospital memaklumkan si mati menerima rawatan susulan tarikh terakhir di Hospital Sik pada 6 Disember lalu dan hasil semakan rekod serta pemeriksaan ke atas si mati telah mengesahkan punca kematian disebabkan serangan jantung.
Sementara itu, Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.19 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dalam tempoh lima minit.
Jenazah Allahyarham Nasaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemelong, malam tadi. –UTUSAN









