Pesalah kes dadah didakwa bunuh ibu bapa

Pesalah kes dadah didakwa bunuh ibu bapa

AFENDI Muhammad Agus dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membunuh ibu bapanya. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Sungai Penchala, di sini minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Afendi Muhammad Agus, 42, selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh, didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Januari depan bagi sebutan kes.

Pada 9 Disember lalu, media melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkai penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.

Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk setempat sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.

Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini.

Suspek adalah anak ketiga daripada empat adik beradik itu juga dipercayai baru sahaja diikat jamin oleh bapanya atas kesalahan jenayah.

Hasil siasatan polis kemudian mengesahkan suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN