MELAKA: Masalah kekeluargaan seperti pertelingkahan dikenal pasti menjadi antara punca berlakunya tunggakan cukai oleh pemilik harta persendirian di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, konflik yang berlaku sesama mereka menyebabkan rumah diduduki dikosongkan, lantas tiada pihak yang tampil membuat pembayaran.
Kata beliau, masalah peribadi tidak boleh dijadikan alasan kerana selagi harta tersebut adalah milik mereka maka perlu membayar cukai.
“Cukai yang tertunggak ini memang banyak dan ada yang lebih daripada 10 tahun. Kes tidak berbayar ini melibatkan rumah atau akaun-akaun yang kita telah kenal pasti mempunyai masalah kekeluargaan dan bukannya disebabkan keadaan ekonomi.
“Mungkin dia berpisah dengan keluarga dan sebagainya yang mana akhirnya dia biarkan rumah itu kosong. Jadi dia tidak membayar cukai.
“Pihak industri pun ada yang tidak bayar cukai dan memberi alasan berlaku pertukaran pengarah atau perniagaan. Benda ini mudah selagi harta itu milik mereka maka mereka perlu bayar (cukai),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBMB 2023 di sini, hari ini.
Tambah Shadan, setu Unit Tunggakan Hasil telah ditubuhkan tahun ini bagi mengesan pemilik harta persendirian atau syarikat yang memiliki tunggakan cukai yang tinggi.
Katanya, unit yang diketuai seorang pegawai dan 20 anggota itu akan mengenal pasti pihak terlibat dan akan ke lokasi untuk mengambil tindakan termasuk membuat sitaan.
“Unit Tunggakan Hasil kini sedang giat mengesan dan pergi ke kawasan industri yang mempunyai tunggakan hasil yang tinggi. Kalau kami rasa perlu untuk ambil tindakan mahkamah kami akan laksanakan.
“Buat masa ini kami keluarkan notis dahulu. Setakat 30 November sebanyak RM16 juta cukai tertunggak telah berjaya dikutip,” ujarnya. – UTUSAN