Perkasa digitalisasi dalam kalangan peniaga - Utusan Malaysia

Perkasa digitalisasi dalam kalangan peniaga

WAN Zikri Afhtar Ishak bergambar bersama para penerima bantuan selepas Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan di Dewan Residensi Kediaman Menteri Besar, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan memberi penumpuan bagi memperkasakan digitalisasi dalam kalangan peniaga secara berperingkat selaras dengan perkembangan teknologi pada masa kini.

Bagi tujuan itu, penekanan bukan sahaja akan difokuskan terhadap aspek pemberian bantuan sahaja namun turut membabitkan penganjuran kursus motivasi, pengurusan perniagaan, pemasaran dan pelbagai lagi.

Pengerusi Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, peniaga dan usahawan pada masa kini perlu dibekalkan dengan ilmu secukupnya bagi mengendalikan perniagaan dalam usaha untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka.

“Selepas ini mungkin kita akan banyakkan kursus-kursus berkaitan kepada peniaga dan usahawan agar selari dengan sistem digitalisasi pada masa kini.

“Selain itu aspek pemasaran juga perlu diberi perhatian kerana kebanyakan pelanggan pada masa kini juga datangnya adalah dari dalam talian atau online,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan di Dewan Residensi Kediaman Menteri Besar, di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai 21 peniaga menerima bantuan barangan perniagaan bagi mengurangkan bebanan mereka dalam menjalankan operasi perniagaan masing-masing.

Mengulas lanjut, Wan Zikri berkata, peniaga dan usahawan pada masa kini sememangnya perlu memahami konsep untuk menyesuaikan perusahaan mereka dengan teknologi pada masa kini.

“Kalau tanya saya, sasaran kita kalau boleh menjelang tahun 2027, lebih daripada 30 peratus peniaga di negeri ini dapat beralih ke digital dan jumlah itu pun sudah tinggi sebenarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, pemberian bantuan berkenaan oleh kerajaan negeri adalah bertujuan sebagai dorongan kepada peniaga untuk meneruskan operasi mereka khususnya pasca pandemik Covid-19.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap inisiatif berkenaan dapat menaikkan semangat buat para peniaga untuk kekal istiqamah dalam menjalankan perniagaan mereka walaupun berdepan dengan beberapa cabaran sebelum ini.

“Kita harap bantuan ini juga dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh penerima untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya