BAGAN SERAI: Penduduk Kampung Parit Haji Ali, Masjid Tinggi di sini kurang senang dengan kehadiran etnik Rohingya yang semakin ramai di kampung itu.
Penduduk berkata, dianggarkan terdapat 30 buah keluarga etnik tersebut yang tinggal menyewa rumah penduduk di kampung tersebut.
Seorang penduduk, Muslan Napiah, 47, berkata, kehadiran etnik itu yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu semakin bertambah.
Menurutnya, apa yang membimbangkan penduduk ialah etnik itu membawa bersama sikap yang bertentangan dengan rakyat tempatan terutama dari segi kebersihan.
“Kebanyakkan etnik ini pengotor dan membuang sampah-sarap di sekeliling rumah yang mereka sewa termasuk di petak sawah berhampiran dan juga di dalam parit.
“Mereka tidak memahami adat budaya setempat dan sukar untuk berinteraksi dengan penduduk kampung.
“Kebanyakan yang tinggal dalam kampung ini bekerja sebagai buruh binaan dan bekerja dengan kontraktor tempatan. Jika dibiarkan, jumlah mereka akan semakin ramai.
“Saya berharap pihak berkuasa membuat pemantauan terhadap kehadiran etnik ini yang dilihat semakin bertambah di sekitar kawasan Bagan Serai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penduduk lain, Nasrul Rahman Mohd Nordin, 30, mengakui ada di antara etnik itu yang mempunyai akhlak yang baik, sering berulang-alik ke masjid namun kebanyakannya mempunyai sikap kurang menyenangkan.
Menurutnya, pernah berlaku kematian melibatkan etnik itu di tempat lain, namun dikebumikan di tanah perkuburan di kampung itu.
Katanya, apa yang dikesalkan ialah etnik itu tidak merujuk kepada bahagian yang mentadbir tanah perkuburan sebaliknya mengorek sendiri liang lahat tanpa memberitahu jawatankuasa yang menjaga tanah perkuburan.
“Kami bukan mahu menghalang pengebumian tetapi sepatutnya hendaklah mendapatkan khidmat daripada ahli jawatankuasa yang telah dilantik dan individu yang ditugaskan dalam kerja pengebumian untuk menentukan tapak tanah perkuburan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Khairil Abdul Malek, 32, berkata, penduduk berharap pihak yang berkenaan mengambil langkah menghalang etnik Rohingya daripada masuk dan tinggal di kampung itu.
Katanya, pertambahan jumlah etnik ini di sini mencetuskan pelbagai isu antaranya memandu kereta dan menunggang motosikal walaupun tidak mempunyai lesen memandu.
“Ada di antara mereka yang membawa motosikal di jalan kampung dengan laju, perkara ini amat membimbangkan penduduk.
“Ada beberapa penduduk yang menegur perbuatan mereka namun perkara itu hanya berhenti seketika dan berulang kembali,” katanya yang berharap penduduk tempatan tidak menyewakan rumah mereka kepada etnik berkenaan. – UTUSAN










