Penyertaan S-MM2H di Sarawak dapat permintaan tinggi

Penyertaan S-MM2H di Sarawak dapat permintaan tinggi

ABDUL Karim (dua dari kanan) merakamkan gambar selepas merasmikan pejabat Aramaz Borneo Sdn Bhd di Kompleks Tun Jugah, Kuching Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Persekitaran yang selamat dan interaksi yang mudah dengan penduduk setempat antara faktor peningkatan warga asing memohon Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Menurut Abdul Karim, program (S-MM2H) terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari warga asing yang rata-ratanya menjalankan banyak penyelidikan di Sarawak. 

“Antara faktor penambahan jumlah angka warga asing bagi S-MM2H ini adalah kerana persekitaran negeri Sarawak yang amat kondusif dan selamat. 

“Selain itu, komunikasi dengan penduduk tempatan adalah mudah kerana bahasa Inggeris digunakan secara meluas. Kebanyakan yang datang ke sini menjalankan banyak penyelidikan sehingga membuatkan mereka berasa Sarawak adalah tempat yang kondusif dan selamat. 

“Malah, budaya hormat-menghormati antara satu sama lain juga sangat tinggi. Justeru, kami juga meletakkan kadar bayaran levi yang munasabah kepada pemohon ini,” jelas Abdul Karim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Aramaz Borneo Sdn. Bhd. di Kompleks Tun Jugah di sini, semalam.

Dalam pada itu, tambah Abdul Karim, penambahan warga asing yang datang ke negeri Sarawak dari Singapura dan Hong Kong sedikit sebanyak memberi impak positif kepada ekopelancongan negeri.

“Bilangan pemohon yang ingin ke Sarawak bagi program S-MM2H sangat tinggi berbanding sebelum ini. 

“Kelulusan visa yang diberikan kepada warga asing adalah selama lima tahun dan selepas itu dapat dilanjutkan lima tahun lagi jadi 10 tahun yang menjadikan Sarawak tempat yang kondusif. 

“Ramai warga asing dari Singapura, Hong Kong, Taiwan dan banyak lagi. Kebanyakan mereka tidak tinggal di sini tetapi menjadikan Sarawak tempat berehat dan ia bagus untuk meningkatkan industri pelancongan,” tegasnya. 

Pada majlis perasmian tersebut, pejabat Aramaz Borneo Sdn. Bhd. bertindak sebagai Pusat Khidmat Aramaz dalam memudahcarakan warga asing yang berminat dengan program pemilikan rumah yang menawarkan Sarawak sebagai destinasi persaraan mahupun sebagai tempat pendidikan anak-anak mereka. 

Selain itu, program S-MM2H juga bertujuan untuk mengangkat Sarawak sebagai destinasi pilihan Malaysia dan menarik lebih ramai warga asing di samping meluaskan daya tarikan negara kita. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN