ALOR SETAR: Seorang pengarah syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pelaburan bernilai lebih RM11 juta sejak beberapa tahun lalu ditahan polis, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.
“Individu berkenaan merupakan pengarah sebuah syarikat pelaburan yang dikatakan memiliki sembilan cawangan antaranya di Perlis, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.
“Modus operandi syarikat itu adalah melalui pelaburan berasaskan pembangunan hartanah serta aset dan pengurusan liabiliti dengan mereka mendakwa memiliki 10 projek yang dijalankan di bawah syarikat tersebut.
“Bagaimanapun semakan mendapati syarikat itu tidak memiliki sebarang kebenaran atau kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan seramai 80 mangsa penipuan skim pelaburan menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah syarikat pelaburan di negeri ini kerana memperdaya dan menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM11 juta.
Kesemua mangsa skim pelaburan itu turut mengadakan pertemuan tertutup bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berhubung kes tersebut sebelum beliau mengesahkan polis menerima lebih 80 laporan.
Mengulas lanjut Syed Basri berkata, siasatan kini masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Sementara itu, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk mendapatkan perintah tahanan reman pagi ini, namun permohonan tersebut difahamkan ditolak mahkamah.
Utusan Malaysia setakat ini belum menerima maklumat berhubung faktor permohonan reman suspek ditolak. –UTUSAN