Pelancong banjiri lokasi menarik di Langkawi

Pelancong banjiri lokasi menarik di Langkawi

ORANG ramai tidak melepaskan peluang menaiki perkhidmatan kereta kabel walaupun terpaksa beratur panjang di Jalan Teluk Baru, Langkawi, Kedah. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kawasan tarikan pelancongan di pulau peranginan ini mula diserbu pelancong yang mahu menghabiskan cuti persekolahan penggal kedua masing-masing sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan pelancongan di Jalan Teluk Baru, di sini mendapati, pelancong beratur panjang untuk membeli tiket masuk ke kereta kabel yang menjadi antara ikon produk pelancongan utama di Langkawi.

Seorang pelancong, Hanim Hussin, 55, dari Kuala Lumpur berkata, dia memilih bercuti di Langkawi walaupun pernah membaca tentang isu makanan mahal di sini.

“Kami sekeluarga mahu sokong produk dan usahawan tempatan jadi saya memilih berkunjung ke Langkawi berbanding ke luar negara.

“Saya tengok harga makanan dan harga bilik pun berpatutan, tidak jauh beza dari di tanah besar. Jadi tanggapan Langkawi mahal adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan industri pelancongan Langkawi kembali rancak selepas hotel-hotel di sini menerima antara 75 hingga 80 peratus tempahan bilik pada minggu pertama cuti persekolahan penggal kedua yang bermula Jumaat lalu.

Seorang lagi pelancong, Khairina Abdul Khalid, 57, dari Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil berkata, walaupun perlu beratur panjang untuk menaiki kereta kabel, ia tidak mematahkan tujuan utamanya bercuti ke Langkawi.

“Semalam kami sudah bersiar-siar di sekitar Pantai Chenang, hari ini kami mahu menaiki kereta kabel pula yang memang antara dalam senarai percutian.

“Kali terakhir saya ke sini adalah semasa kejadian tsunami kira-kira 10 tahun lalu, ada banyak perubahan yang saya lihat dan orang juga lebih ramai berbanding dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Hidayah Azlan, 45, dari Kuala Selangor berkata, dia tidak menyangka orang ramai berkunjung ke kereta kabel. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×