MUKAH: Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 116 Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, berhampiran Sungai Arip, Selangau di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki remaja 16 tahun itu merempuh belakang sebuah lori dari arah jalan raya Bintulu.
“Kejadian berlaku pada jam 6.30 petang dan pada siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave melanggar bahagian belakang lori yang sedang bergerak dari arah sama.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Arip,” ujarnya.
Tambahnya, pelajar berkenaan juga menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
“Dalam pada itu, pemandu lori yang berusia 40 tahun terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Identiti pelajar yang maut dikenali sebagai Gelbert Cassdy Laman Minggu, 16, dari Rumah Akat Bukit Mengris, Sungai Kemena, Selangau. -UTUSAN