Pelajar OKU mangsa cabul diberi kaunseling - Utusan Malaysia

Pelajar OKU mangsa cabul diberi kaunseling

LIM Hui Ying (tengah) menyampaikan sumbangan bagi projek membaiki tandas di SMK St. Xavier, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan melaksanakan sesi kaunseling kepada 14 pelajar lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, dekat sini yang didakwa menjadi mangsa cabul baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, sesi kaunseling bagi pelajar-pelajar tersebut yang merupakan pelajar berkeperluan khas amat mustahak untuk dijalankan.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mengambil kaunselor dari sekolah lain untuk membimbing mangsa-mangsa berkenaan.

”Kaunseling amat mustahak, mangsa-mangsa memang anak-anak keperluan khas, mereka memerlukan banyak perhatian, jadi  kaunseling amat perlu.

”Mangsa masih di asrama, mereka diberi perhatian yang rapi, soal kes berkenaan biar polis yang membuat siasatan, kami pastikan mangsa dijaga dengan baik dan kejadian ini tidak berlaku lagi,” katanya selepas menghadiri majlis anugerah kecemerlangan pelajar di SMK St. Xavier, di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, polis menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencabul 14 pelajar lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, remaja lelaki yang juga OKU berusia 13 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada pengetua sekolah tersebut.

Kesemua mangsa berusia antara 13 dan 14 tahun dan merupakan pelajar OKU yang mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran serta autisme dan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Menurut Hui Ying, suspek kes cabul itu telah digantung sekolah dan berada di rumah pada masa ini.

”Pada masa ini kami tidak ada masa tetap lagi (tempoh gantung sekolah), sebab kita mahu lihat bagaimana siasatan polis dan kita akan umumkan nanti. Ketika ini dia (suspek) telah pulang ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pihak sekolah juga telah mengetatkan rondaan oleh warden bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga telah diarahkan untuk membuat laporan lengkap berhubung kejadian tersebut untuk diserahkan kepada pihak kementerian. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya