Pekerja asing ditipu: Kerajaan digesa wujud sistem tetap

Kerajaan digesa wujud sistem tetap tangani isu pekerja asing ditipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempunyai mekanisme dan sis­tem yang tetap bagi mena­ngani isu pekerja asing yang tidak mendapat pekerjaan atau majikan apabila ditipu oleh ejen atau syarikat tanpa lesen setelah masuk ke dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Datuk Yoo Fong Hooi berkata, antara yang boleh dilakukan adalah warga asing terlibat boleh bertukar ma­jikan atau sektor pekerjaan yang ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurutnya, kebanyakan pe­kerja asing yang ditipu untuk mendapatkan pekerjaan dalam negara datangnya daripada ejen ataupun orang tengah yang tidak berlesen.

“Mana-mana ejen berlesen tidak akan membuat perkara sedemikian kerana mereka akan mendapat cagaran daripada kerajaan melalui sekiranya membawa masuk pekerja asing mengikut prosedur,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, syarikat dan ejen pekerja asing yang mengeks­ploitasi warga asing dengan janji kerja palsu mesti dikenakan hukuman lebih tegas kerana mencabuli hak asasi manusia.

Selain itu, kata Fong Hooi, setiap pekerja asing perlu di­bawa masuk melalui ejen yang berlesen dan perlu dipertanggungjawab oleh ejen tersebut sekiranya mereka mempunyai masalah dengan majikan.

Tambahnya, kerajaan perlu mempunyai mekanisme yang tetap sekiranya pekerja asing yang datang tidak mempu­nyai kerja supaya mereka boleh bertukar majikan atau sektor pekerjaan yang ditetapkan JIM.

Dalam pada itu, Presiden Per­tubuhan Kebangsaan Agensi Pe­kerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low berkata, majikan atau pihak berkenaan yang membawa masuk pekerja asing harus bertanggungjawab dan patut dihukum mengikut undang-undang apabila membuat kesalahan.

Tambahnya, kejadian sebegini bukan kes pertama atau terakhir jikalau kerajaan masih mengizinkan dua cara sistem seperti sekarang yang mana kerajaan sepatutnya mencegah kejadian dari proses permulaan awal sebelum masalah berlaku.

“Dua sistem (melalui APS dan tidak melalui APS) yang sekarang ada patut diubah kepada hanya satu sistem sahaja se­perti negara jiran yang lain iaitu kesemua majikan yang ingin mengambil pekerja asing atau pembantu rumah harus melalui Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang telah diberikan lesen oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengikut Akta Agensi Pekerjaan 1981 (Akta 246).

“Jika sistem tanpa melalui APS masih diteruskan yang mana mereka mendapat peluang besar untuk bercampur dan mempergunakan ‘loophole’ dalam sistem ini, sampai bila-bila Malaysia tidak dapat me­ngurangkan masalah.

“Selama sistem ini (tanpa melalui APS) dijalankan, jumlah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) semakin meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut Fiona berkata, majikan membuat permohonan kuota di JTKSM harus pro­ses melalui APS sahaja dan hanya diberikan kepada majikan yang tulen.

Dengan itu, katanya, APS boleh membantu majikan da­lam pemprosesan ikut prosedur dan merekrut pekerja yang bersesuaian kerana APS memahami proses dan tanggungjawab ke­seluruhannya bagi pihak yang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN