Pekan Sehari Temerloh diiktiraf MBOR pekan sehari terpanjang, peniaga terbesar

Pekan Sehari Temerloh diiktiraf MBOR pekan sehari terpanjang, peniaga terbesar

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) bertanyakan harga produk pertanian yang dijual di Pekan Sehari Temerloh di Lurah Semantan, Pahang yang diiktiraf sebagai pekan sehari terpanjang dengan jumlah peniaga terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book Of Records.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pekan Sehari Temerloh di Lurah Semantan di sini, yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) diiktiraf sebagai pekan sehari terpanjang di Malaysia dengan jumlah peniaga paling ramai yang dicatat di dalam Malaysia Book Of Records ( MBOR).

Pekan Sehari Temerloh atau Kuala Semantan sepanjang 2.2 kilometer dan mempunyai kira-kira 607 peniaga itu menjual pelbagai jenis produk segar sejak era Tok Bahaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan, kuih-muih, ikan sungai, ayam, daging serta pelbagai lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bangga kerana Pekan Sehari Temerloh yang terkenal sejak beberapa dekad lalu disenaraikan dalam MBOR.

“Tapak Pekan Sehari Temerloh di pertemuan Sungai Pahang dan Sungai Semantan akan diangkat sebagai tapak warisan negeri Pahang berasaskan kepada kesesuaian tapak pekan sehari yang menjadi kegiatan ekonomi rakyat.

“Ia wujud sekitar tahun 1870 dan mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri,” katanya selepas majlis Penyerahan Sijil MBOR oleh wakil MBOR di Terminal Bas Lurah Semantan di sini, semalam.

Menurut Wan Rosdy, lokasi tapak peniaga yang wujud lebih 150 tahun itu adalah pusat sehenti penduduk untuk menjual hasil pertanian melibatkan peniaga dari daerah Temerloh, Jerantut, Bera dan Kuala Krau.

Katanya, kira-kira 5,000 hingga 7,000 orang mengunjungi pekan sehari berkenaan setiap Ahad yang secara langsung memberikan pulangan ekonomi baik kepada para peniaga.

“Penduduk kampung yang menanam sayur kampung dapat membekalkan tanaman mereka kepada peniaga sayur dan anak-anak muda pula dapat bekerja secara sambilan bagi menambah pendapatan.

“Dalam masa yang sama , pengusaha hotel dan rumah tamu serta peniaga kedai makan dan restoran turut merasai kesan hasil limpahan ekonomi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×