Pekan Papan yang dilupakan

Pekan Papan yang dilupakan

papan
PEKAN Papan di Batu Gajah, Perak bukan sekadar kawasan lombong atau dikenali dengan isu pembuangan sisa radioaktif, malah mempunyai nilai warisan sejarah termasuk keunikan reka bentuk serta struktur bangunan lama. – MINGGUAN/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pekan Papan yang terletak berhampiran Batu Gajah, pernah memba­ngun dengan pesat ketika zaman ke­gemilangan perlombo­ngan bijih timah.

Pekan yang terletak berhampiran dengan Ipoh itu turut menjadi tumpuan ketika era 1980-an berikutan pencemaran sisa radioaktif membabitkan syarikat Asia Rare Earth Sdn. Bhd. (ARE).

Syarikat berkenaan ketika itu mengekstrak nadir bumi iaitu yttrium, unsur kimia daripada bahan mineral monazite yang mengandungi bahan radioaktif.

Papan dikatakan antara kawasan yang terdedah dengan kesan pencemaran walaupun jaraknya terletak kira-kira 16 kilometer (km) dengan pembinaan kilang nadir bumi di Bukit Merah, Batu Gajah.

Malah, dikatakan terdapat segelintir penduduk yang terkesan dan terkena serangan kan­ser selepas pembinaan kilang terbabit.

Situasi pada ketika itu tegang apabila lebih 6,000 penduduk di kawasan sekitar seperti Lahat, Bukit Merah dan Menglembu selain Papan mengadakan pelbagai bantahan serta demonstrasi bagi mendesak penutupan kilang berkenaan.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat selain penyerahan surat bantahan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri lain agar penutupan kilang tersebut dilaksanakan.

Beberapa pakar dari dalam serta luar negara dijemput bagi membuat analisis kadar radiasi di kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun, selepas lebih 30 tahun, nama Papan tenggelam dan ramai yang tidak mengetahuinya biarpun mempunyai kisah serta sejarah tersendiri yang bukan hanya berkisar tentang isu pencemaran radioaktif.

Papan walaupun kurang dikenali sebagaimana tempat bersejarah lain di Perak, hakikatnya mempunyai cerita dan nilai warisan sejarah di samping keunikan namanya.

LEBIH MAJU DARI IPOH

Ia diakui Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee yang berkata, pekan terbabit pernah diiktiraf sebagai pekan perlombongan tertua di Lembah Kinta berbanding Ipoh.

Katanya, Ipoh yang kini menjadi ibu negeri Perak hanya sebuah kampung berbanding Papan yang merupakan bandar pada abad ke-19.

“Malah sejarah pekan Papan ini panjang dan bukan sekadar berkisar pada zaman Raja Bilah. Pada abad ke-19, Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah yang ketika itu menjadi sultan ke-23 negeri Perak mula membuka lombong bijih timah di Papan dan kemudian dikembangkan Raja Bendahara Ismail.

“Papan adalah sebuah kawasan yang besar dan kaya de­ngan perlombongan bijih timah. Namun apabila Residen Inggeris pertama, JWW Birch dibunuh, Raja Bendahara Ismail dibuang ke Johor dan Papan terbiar.

“British kemudian beri kawasan ini kepada kelompok baharu masyarakat Mandailing iaitu Raja Asal dan Raja Billah. Pada masa ini, Papan sudah maju disebabkan kekayaan yang sedia ada sehinggakan sudah wujud balai polis dan stesen kereta api sampai ke Tronoh,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

BANGUNAN lama di Pekan Papan yang dimamah usia menjadi tarikan pelancong.

Menurut Nor Hisham, sejarah awal Papan kurang ditonjolkan dan bukan sekadar kawasan lombong semata-mata atau membabitkan isu pembuangan sisa radioaktif.

“Di sebalik cerita sejarah lombong, ada sejarah pemimpin lain yang terlibat. Semasa Raja Bilah datang, mereka duduk di Papan. Namun Raja Bilah bukan keturunan sultan dan rakyat biasa.

“Sebab itu, ada yang tulis istana walhal beliau bukan sultan. Beliau datang dari Suma­tera Indonesia dan berhijrah ke Selangor mengikut bapa saudaranya iaitu Raja Asal. Sewaktu perang saudara di Selangor, Raja Bilah menyebelahi Raja Mahadi dan mereka kalah sebelum membawa diri ke Perak serta menetap di Papan,” katanya.

Dengan nilai sejarah yang tinggi, beliau berkata, Papan sepatutnya menjadi kawasan dikenali sepertimana Pasir Salak.

DILEMA MITSUBISHI, PEMIMPIN DAN POLITIK

Seorang individu yang mengetuai demonstrasi bantahan tersebut, Low Tong Hooi yang kini berusia 82 tahun dan membesar di Papan berkata, pekan berkenaan begitu dekat di hatinya dan mempunyai sejarah peribadi tersendiri.

Pernah bekerja di kawasan perlombongan bijih timah sejak 1963, dia tidak menyangka kewujudan kilang ARE berhampiran Papan mengheretnya ke kancah pertikaian bersama pemimpin negara dan syarikat dari Jepun iaitu Mitsubishi pada 1982.

“Ada pemimpin yang marah apabila mengetahui kami ke Kedutaan Jepun bagi menyatakan bantahan.

“Malah kami dalam masa yang sama mengugut untuk memboikot Mitsubishi, walhal pada ketika itu Malaysia sedang rancak dengan pembangunan kereta nasional pertama iaitu Proton Saga.

“Sebenarnya saya langsung tidak fikir tentang apa-apa berkaitan politik atau sebagai­nya pada masa itu. Saya hanya fikir tentang kepentingan kesihatan penduduk,” katanya.

Apabila timbul perkara tersebut, kata Tong Hooi, ramai yang ditangkap disebabkan menentang kerajaan menerusi Operasi Lalang.

SIMBOL PERJUANGAN ALAM SEKITAR

Sementara itu, bagi peguam yang pernah terlibat dalam kes sisa pembuangan radioaktif di Papan, R. Meenakshi, pekan tersebut menjadi simbol perjuangan terhadap kepentingan isu alam sekitar sampai bila-bila.

Beliau mengingati dengan jelas peristiwa itu yang mana ada penduduk terkena jangkitan leukemia dan beberapa jenis kanser lain, dipercayai selepas terdedah dengan radiasi pembuangan sisa kilang.

“Ekoran kes di Papan saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya masih ingat umur saya pada masa itu ialah 29 tahun dan bersemangat untuk menentang pembinaan kilang berkenaan selepas melihat bagaimana kanak-kanak seawal dua tahun sudah ada dijangkiti penyakit kanser.

“Bagi saya ini antara kes terbesar yang saya pernah terlibat membabitkan alam sekitar. Banyak pengalaman berharga yang saya dapat daripada kes ini terutama dalam aspek kepakaran alam sekitar dan perkara berkaitan radioaktif,” katanya.

Meenakshi yang juga Presi­den Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, pengalaman menguruskan kes berkenaan dalam masa sama membuka mata terhadap sikap segelintir pakar dalam negara.

“Apabila kita bincang pasal radioaktif, memang kita terpaksa bergantung dengan pakar dari luar negara kerana mereka (pakar dalam negara) tidak mahu membuka mulut.

“Ia pelik sebab memang jelas terdapat sisa radioaktif dan walaupun dipanggil sisa yang mungkin segelintir melihatnya tidak terlampau banyak, ia masih meninggalkan kesan. Bagi saya ini satu pengajaran supaya jangan ingat sisa radioaktif pada kadar radiasi rendah bermaksud ia selamat, sedangkan tidak,” katanya.

Pada masa itu, katanya, sebuah jawatankuasa yang turut dianggotai SAM ditubuhkan bagi mengukur paras radiasi di kawasan berhampiran dan mendapati kadarnya menjadi lebih 88 kali lebih tinggi daripada had atas yang dibenarkan Suruhanjaya Perlindungan Radiologi Antarabangsa (ICRP).

PEKAN HANTU

Bekas Ketua Kampung Papan, Leong Wai Fan pula berkata, peristiwa yang berlaku ketika dia berusia lapan tahun itu menjadikannya kuat dan bertekad memperkenalkan Papan kepada masyarakat terutama dalam aspek sejarah.

LEONG WAI FAN

Katanya, dia mahu membuang persepsi terhadap Papan kononnya kawasan tersebut hanya popular dalam kalangan mereka yang terlibat dengan aktiviti paranormal.

“Sebenarnya banyak tarikan di sini antaranya Galeri Warisan Papan, pokok banyan yang berakar di dinding, Masjid Papan, Rumah Asal Raja Billah dan Klinik Sybil Kathigasu.

“Jangan ingat pekan yang sunyi sepi ini tiada apa-apa nilai warisan sejarah. Kami cuba sedaya-upaya dan apa yang termampu bagi memastikan sejarah yang ada di Papan terjaga serta dapat dilihat generasi pada masa kini,” katanya.

KEADAAN dalam Galeri Warisan Papan yang masih mengekalkan struktur asal selain menempatkan maklumat berhubung sejarah berkaitan pekan Papan.

Wai Fan berkata, aktiviti pelancongan yang rancak berjalan dengan penglibatan penduduk setempat khususnya secara tidak langsung dapat mengubah wajah Papan pada masa akan datang.

Keunikan reka bentuk dan struktur bangunan Rumah Besar Raja Bilah yang masih berdiri kukuh walaupun sudah berusia 127 tahun menjadi tarikan utama pengunjung melawat pekan Papan.

KEUNIKAN RUMAH RAJA BILAH

Bagi seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, K.Moorthy, 41, dia melihat keunikan Rumah Besar Raja Bilah sebagai tarikan di pekan Papan dan menjadi tarikan kepadanya untuk berkunjung ke situ.

“Dari luar sudah nampak, betapa besarnya rumah ini. Tapi kita boleh tengok dari luar sahaja kerana ia adalah rumah persendirian. Jika rumah ini dibuka kepada pelawat, sudah tentu kami berkunjung lagi ke sini,” katanya.

Dia yakin pekan itu pernah menjadi sebuah pekan yang sangat pesat pada era kegemilangannya.

“Rumah ini sahaja dibina pada tahun 1896, kira-kira 127 tahun yang lepas, bangunan-bangunan yang lain pun masih kukuh walaupun sudah kelihatan usang.
“Saya yakin tempat ini memang membangun semasa era perlombongan bijih timah, alangkah baiknya jika tempat ini dibangun semula sebagai pekan warisan,” katanya.

Sementara itu, Konservator Berdaftar, Shaari Mat Said yang mempunyai pengalaman memulihara bangunan warisan lebih 20 tahun berkata, pemuliharaan bangunan warisan tidak boleh dijalankan secara sembarangan bagi memastikannya dapat dibangunkan semula de­ngan lebih kukuh dan kekal asli.

“Rumah Besar Raja Bilah adalah bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi serta mampu menjadi tarikan pusat pelancong.

“Kajian yang terperinci perlu dilakukan sebelum kerja-kerja pemuliharaan dilakukan.

“Ini bagi memastikan bahan-bahan asal yang digunakan dalam pembinaan serta mengesan masalah yang dihadapi, termasuk masalah pengaliran dan takungan air,” katanya.

INFRASTRUKTUR, SOKONGAN

Sementara itu, Ketua Kumpulan Konservatif Warisan Papan, Chew Seng Leong atau lebih dikenali sebagai Jacky berharap sokongan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pekan Papan dikenali dalam kalangan pelancong sama ada dalam atau luar negara.

“Sebelum pandemik Covid-19 kami sudah melakukan kerja memulihara beberapa struktur di Papan dan sehingga kini kami masih meneruskan kelangsu­ngannya.

“Ini kerana Papan mempu­nyai banyak sejarahnya. Apabila ada perubahan mendadak, kami sudah semestinya mengharapkan PBT dan kerajaan negeri membantu untuk mempromosi Papan secara agresif,” jelasnya.

Dia sangat berharap agar papan tanda berwarna coklat dapat ditambah sebagai tanda arah dan petunjuk kepada orang luar bahawa pekan berkenaan mempunyai tempat-tempat pelancongan yang boleh dikunjungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN