ALOR SETAR: Salah seorang pejuang seni tradisi Kedah, Mek Mulung, Saipol Bahari Mohd. Iman, 47, yang turut berada dalam delegasi ke Kasane, Republik Bostwana baru-baru ini meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
Menurut abang sulungnya, Mohd. Ridzwan, dia dalam perjalanan balik ke kampung dari Kuala Lumpur sebelum menerima panggilan daripada isteri arwah menyatakan adiknya mengalami sesak nafas di rumah, kira-kira pukul 6.30 petang.
“Saya meminta supaya adik segera dibawa ke hospital. Namun tidak lama selepas itu, saya dan keluarga yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya menerima panggilan sekali lagi daripada salah seorang anak saudara memaklumkan Saipol Bahari sudah meninggal dunia.
“Pemergiannya amat mengejutkan kerana dia sempat menghadiri majlis kenduri ahli keluarga kami beberapa jam sebelum itu dan tidak menunjukkan tanda-tanda sakit. Malah kami sepatutnya bercuti bersama-sama ke Satun, Thailand hari ini
“Arwah cukup bersemangat membuat persiapan dengan membeli barangan, menukar duit dan sebagainya. Tak sangka pula kepulangan kami ke kampung beramai-ramai hari ini bagi menguruskan jenazahnya,” katanya di sini, hari ini.
Pada 5 Disember lalu, Saipol Bahari antara yang berada dalam delegasi Mek Mulung yang menerima pengiktirafan sebagai Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera daripada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Arwah yang aktif sebagai pengarah serta penulis skrip teater Mek Mulung turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penggiat Seni Teater pada Majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Kedah 2023 yang berlangsung bulan lalu.
Sementara itu, Mohd. Ridzwan berkata, adiknya yang merupakan bapa kepada lima anak sememangnya sejak dahulu menunjukkan kecintaan tinggi terhadap kesenian Mek Mulung.
“Arwah juga Pengerusi Persatuan Penggerak Warisan Budaya Kedah (Akrab) yang sejak daripada dulu sering bertemu dengan orang-orang lama bagi mendalami ilmu berkaitan kesenian Mek Mulung. Kecintaannya kepada kesenian seni budaya itu amat mendalam.
“Dia sentiasa berusaha mempopularkan dan mengkomersialkan seni tradisi ini. Dalam dunia seni teater juga, arwah cukup aktif dan telah beberapa kali memenangi pertandingan teater di ibu negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Kedah, Sabarina Masadi menyifatkan seni tradisi Kedah kehilangan sebutir permata yang banyak memainkan peranan dalam kembali mengangkat kegemilangan Mek Mulung.
“Hakikatnya ramai yang tidak sedar bahawa Mek Mulung sebelum ini hampir pupus. Namun berkat kerja keras arwah bersama kumpulan Mek Mulung dari Wang Tepus, tradisi warisan Kedah Tua ini kembali diangkat hingga mendapat pengiktirafan dunia.
“Kehilangannya cabaran besar buat kami kerana bukan senang untuk mencari pengganti sepertinya. Kami perlu bekerja keras selepas ini dan akan terus berusaha bagi memastikan impiannya untuk melihat Mek Mulung terus diketengahkan, tidak terkubur begitu saja,” katanya. –UTUSAN











