Pegawai polis langgar pelajar disiasat bawah Seksyen 302

Pegawai polis langgar pelajar disiasat bawah Seksyen 302

POSTER 'Justice for Muhammad Zaharif Affendi' atau 'Keadilan untuk Muhammad Zaharif Affendi' yang dikesan ditampal pada dinding zink di tapak pembinaan Kompleks Mahkamah Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden yang ditahan bagi membantu siasatan kes langgar pelajar lelaki tingkatan lima di Jalan Taman Jati dekat Meru semalam, turut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau kini direman tiga hari bermula semalam selepas pihak polis mendapat perintah itu daripaa Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memberitahu, seramai tujuh saksi telah pun tampil bagi membantu siasatan.

“Sama ada, terdapat saksi lain yang akan dipanggil, ia bergantung kepada siasatan. Setakat ini, seramai tujuh orang saksi yang berada di lokasi kejadian telah tampil beri keterangan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.

Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dikatakan telah mengejar mangsa sejauh kira-kira satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan.

Terdahulu, tinjauan di sekitar lokasi pembinaan Kompleks Mahkamah Ipoh mendapati, terdapat beberapa poster tertera gambar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu ditampal di dinding zink.

Poster gambar mangsa ketika kejadian itu disertakan dengan tulisan ayat; ‘Justice for Muhammad Zaharif Affendi’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN