PEMINAT, ada kala boleh menjadi tulang belakang untuk terus berjaya dalam industri seni namun ada kala juga, boleh menjatuhkan seseorang selebriti itu.
Terutama mereka yang mempunyai obsesi dahsyat. Bila ada sahaja kisah sensasi melibatkan artis kesayangan mereka, benteng pertahanan terus dibina. Salah ke, betul ke, artis mereka tetap nombor satu.
Selebriti pujaan mereka ibarat ‘malaikat’ tiada salah dan silap. Terutama di kala zaman media sosial ini, kita dapat melihat sendiri obsesi peminat yang terlampau sehingga menimbulkan ketakutan, kerisauan dan trauma kepada selebriti kesayangan mereka sendiri.
Ayuh kita senaraikan beberapa kisah ‘gila’ obsesi peminat dikenali sebagai sasaeng yang pernah menghantui selebriti Korea Selatan.

JENNIE BLACKPINK
BENAR duit tidak boleh beli kebahagiaan tetapi boleh membeli papan iklan untuk menyatakan rasa sayang dan minat terhadap selebriti pujaan anda.
Itu yang dilakukan oleh pempengaruh Filipina, Christian Albert terhadap artis kesayangannya, Jennie Blackpink.
Hanya kerana obsesi, dia telah membeli ruang papan iklan berdekatan bangunan syarikat pengurusan Jennie, YG Entertainment dan secara terbuka mengajak penyanyi tersebut keluar makan bersama.
“Kim Jennie Rudy Jane, awak adalah kesayangan saya paling unggul. Boleh saya bawa awak keluar makan dan menjadikan saya lelaki paling bahagia di dunia ini?”
Tindakan tersebut mengundang kerisauan peminat dan pengurusan Jennie sehingga tanda pagar #LeaveJennieAlone dan #ProtectJennie tular di media sosial. Untunglah banyak duit kan?

TWICE’S NAYEON
KALI ini kegilaan lain pula dilakukan seorang peminat dari Jerman yang mencetuskan ketakutan dan trauma di atas tindakan melampaunya terhadap anggota kumpulan Twice, Nayeon sekitar 2019.
Dikenali dengan nama akaun, Josh1994, lelaki itu pernah beberapa kali berdepan tindakan undang-undang selepas berkali-kali ke syarikat pengurusan Nayeon, JYP Entertainment untuk bertemu penyanyi pujaannya itu.
Namun lelaki berusia 26 tahun itu tidak berputus asa dan sentiasa mencuba jalan lain untuk bertemu Nayeon. Peminat menggesa JYP Entertainment untuk menyekat dan menggandakan keselamatan penyanyi itu. Stalker rupanya!

JENO NCT
KEGILAAN sasaeng yang satu ini berlaku ketika anggota NCT, Jeno, Renjun dan Chenle sedang mengadakan sesi siaran langsung bersama peminat di aplikasi media sosial rasmi mereka sekitar 2020.
Ketika sesi siaran langsung tersebut berlaku, telefon Jeno berbunyi lebih 20 kali sehingga menyebabkan Renjun bengang dan mengangkat telefon tersebut untuk bercakap dengan peminat gila mereka.
Rupa-rupanya, itu bukan kali pertama mereka berdepan kegilaan tersebut dan masing-masing mengakui penat menukar nombor telefon kerana sering diganggu oleh sasaeng. Tak sangka, ada juga orang ‘segila’ itu ya.

STRAY KIDS
TIDAK cukup mengganggu menerusi panggilan telefon, ada sasaeng sanggup berkampung di hadapan rumah kumpulan kegemaran mereka. Itu yang berlaku kepada anggota Stray Kids yang trauma dengan obsesi peminat mereka.
Risau dengan keselamatan mereka, salah seorang anggota Stray Kids, Seungmin akhirnya bersuara dan meminta agar peminat-peminat ‘gila’ itu untuk tidak lagi mengganggu mereka terutama di kediaman kumpulan tersebut.
Malah syarikat pengurusan mereka, JYP Entertainment segera mengambil tindakan dan memasang pasukan keselamatan di sekitar kediaman kumpulan tersebut. Namun, ada juga peminat yang degil!











