Nuramrul Amri dipilih terima Anugerah TDA MAIPs 2023 - Utusan Malaysia

Nuramrul Amri dipilih terima Anugerah TDA MAIPs 2023

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyerahkan Anugerah TDA MAIPs Terbaik 2023 kepada Nuramrul Amri Chan (tiga dari kanan) pada majlis berlangsung di Masjid Negeri Arau, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi penganugerahan kepada Nuramrul Amri Chan, 41, sebagai peserta Taman Desa Asnaf (TDA) Terbaik Tahun 2023.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs di Masjid Negeri Arau, di sini.

Menerusi pengiktirafan itu, Nuramrul Amri menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM1,000, cenderamata dan sijil daripada MAIPs.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Nuramrul Amri merupakan salah seorang peserta TDA Batu Bertangkup terawal sejak bermulanya pembinaanya dan berkhidmat sebagai ketua penduduk selama 10 tahun.

“Dia banyak membantu khususnya dalam pengurusan ladang dan kediaman TDA dari pelbagai sudut termasuklah aktivti-aktiviti di taman yang memerlukan penglibatan seluruh keluarga serta pengurusan peserta-peserta di ladang tersebut,” katanya.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang kepada 140 asnaf terpilih dalam kalangan kariah Kota Raja Arau 1 dan Kota Raja Arau 2 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM98,000.

Mengulas lanjut, Mohd Nazim berkata, Nuramrul Amri turut memiliki kelebihan sebagai seorang imam, berbakat dalam pengucapan umum, pengurusan majlis dan kini berkhidmat sebagai pegawai khas di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Isterinya juga merupakan ketua kaum wanita di TDA dan melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai bengkel latihan yang dianjurkan di taman itu.

“Nuramrul Amri kini merupakan pengusaha kraftangan dan bonsai kelapa malah antara yang dihasilkannya adalah tanjak Perlis iaitu Putra Julang Darjat, sampin, bengkung dan banyak lagi,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Nazim turut mengingatkan seluruh umat Islam di negeri ini agar menggunakan kesempatan akhir tahun untuk menunaikan kewajipan zakat masing-masing.

Tambahnya, setiap sumbangan zakat yang dilaksanakan melalui MAIPs akan mendapat pelepasan atau dikecualikan kadar tersebut dari membayar cukai pendapatan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya