Norhidawati tekad bantu usahawan melalui magis aromaterapi - Utusan Malaysia

Norhidawati tekad bantu usahawan melalui magis aromaterapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Usahawan dan pakar pati aromaterapi, Norhidawati Abdul Aziz komited mahu membantu golongan usahawan yang bergelut dengan pelbagai tekanan dalam perniagaan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu kini menerusi ‘magis’ aromaterapi.

Menurut Norhidawati yang juga pengasas syarikat OilyLicious Sdn. Bhd, usaha itu digerakkannya bagi memberi didikan kepada orang ramai mengenai teknik penggunaan pati minyak aromaterapi dengan ilmu yang tepat.

Katanya, teknik penggunaan minyak aromaterapi yang betul dapat membantu seseorang itu mencapai tahap kesihatan yang maksimum sekaligus membantu mengawal masalah kesihatan mental yang ada.

“Dapat kita lihat, zaman sekarang ramai orang terutamanya golongan usahawan yang berdepan dengan masalah kesihatan mental.

“Jadi, saya tekad untuk membantu memberikan pendedahan bukan sahaja kepada usahawan tetapi juga kepada orang di luar sana tentang tata cara serta teknik penggunaan pati aromaterapi yang berkualiti tinggi dengan betul.

“Sekiranya mereka menggunakan teknik yang betul, insya-Allah mereka dapat mencapai tahap kesihatan mental serta emosi yang terbaik lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Jadi sebab itu saya ingin menggunakan platform yang ada untuk memberikan kesedaran mengenai kebaikan menggunakan pati aromaterapi kepada orang ramai,”katanya.

Norhidawati berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada satu sesi temu bersama wartawan di OilyLicious Healthcare Sdn. Bhd bertempat di Bukit Raja, Klang, semalam.

Jelas Norhidawati, dia juga menyediakan pelbagai program sokongan buat golongan usahawan di bawah bimbingannya dalam membantu mereka terus bangkit dan bergerak ke hadapan.

“Kami ada menyediakan beberapa program sokongan sebagai satu usaha untuk menguatkan serta menenangkan emosi para usahawan yang terjejas.

“Kami percaya hanya dengan emosi yang tenang, kita dapat berfikir dengan lebih rasional dan membuat keputusan yang bernas dan tepat dalam merangka strategi pemulihan perniagaan.

“Seperti yang sedia maklum, setiap perniagaan yang dimulakan setiap usahawan itu akan melalui fasa yang berbeza-beza dan kebanyakan dari mereka pada hari ini berada di dalam keadaan yang sangat rapuh dek dari segi tekanan mental dan emosi gara-gara keadaan ekonomi tidak menentu yang menjejaskan pendapatan mereka,”katanya.

Tambah Norhidawati lagi, dia percaya masih ramai yang tidak tahu bagaimana pati minyak aromaterapi mampu merangsang serta memberi ketenangan minda kepada pengamalnya jika teknik penggunaan yang tepat dijalankan.

Sehubungan dengan itu, Norhidawati mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu dengan menjalankan beberapa ‘roadshow’ di seluruh negara bagi memberi sokongan kepada usahawan-usahawan tersebut.

Program sokongan yang dilakukan ini akan diteruskan lagi pada tahun 2024 bagi membantu lebih ramai lagi usahawan di seluruh Malaysia.

Selain itu, Norhidawati punyai cara tersendiri untuk menghargai usahawan menerusi majlis apresiasi yang menghimpunkan lebih 100 usahawan hebat seluruh Malaysia.

“Hampir 90% usahawan di bawah bimbingan kami adalah wanita yang tekad mahu meningkatkan taraf ekonomi dan juga menjalani gaya hidup sihat melalui terapi minyak pati aromaterapi.

“Sebagai pemimpin dan individu yang telah mencipta nama dan kejayaan dalam bidang ini, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membimbing mereka seikhlas hati bagi memastikan impian mereka tercapai.

“Saya akui mereka sangat tekun dan bersungguh-sungguh mengikuti setiap kelas serta program yang saya sediakan. Justeru majlis penghargaan ini saya khaskan bagi meraikan mereka,” tambahnya.

Untuk info, Norhidawati pernah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila menjadi wanita Muslim pertama yang dinobatkan sebagai Royal Crown Diamond dalam industri minyak aromaterapi Young Living.

Selepas hampir 10 tahun melibatkan diri dalam bidang berkenaan, usahawanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini begitu komited membantu lebih ramai individu menjalani jalan hidup sihat melalui terapi minyak aromaterapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN