KUALA LUMPUR: Menjadi punca kenaikan harga barang adalah antara alasan yang diberikan oleh sesetengah majikan untuk tidak menaikkan gaji pekerja walaupun syarikat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, perkara itu berlaku di banyak syarikat termasuklah di institusi perbankan yang menunjukkan jurang perbezaan pendapatan di antara eksekutif dan pekerja bawahan.
“Itu alasan yang sering digunakan majikan untuk tidak mahu menaikkan gaji pekerja kerana ia akan memberi kejutan akan berlakunya kenaikan harga barangan. Sebab apabila ada duit lebih, bolehlah berbelanja lebih. Apabila permintaan tinggi, maka akan berlakulah kenaikan harga. Ini yang dimomokkan oleh majikan.
“Tetapi apa yang berlaku? Keuntungan syarikat tidak diberi selayaknya kepada pekerja bawahan. Contohnya di bank, ketua pegawai eksekutif (CEO) berpendapatan RM150,000, yang duduk di kaunter punya gaji RM1,800 ke RM2,200. Perbezaannya 200 kali ganda.
“Mengapa perkara sebegini terjadi? Sebab prestasi CEO terikat dengan prestasi syarikat. Tetapi yang di bawah ini tidak menerima hak yang selayaknya patut mereka terima. Ia menyebabkan jurang pendapatan yang semakin meluas,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Baharom turut merujuk kepada Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 iaitu meskipun produktiviti pekerja Malaysia setara dengan negara setanding, ganjaran yang diterima masih lebih rendah.
Sebagai contoh, pekerja di Malaysia dibayar AS$340 untuk menghasilkan pengeluaran bernilai AS$1,000 sementara pekerja di negara setanding dibayar AS$510.80.
Namun, jelasnya lagi, peningkatan tangga gaji sewajarnya dibuat mengikut daerah dan wilayah sesetengah kawasan.
“Kalau RM1,500 di Terengganu, Perlis okeylah. Tetapi di Kuala Lumpur dengan gaji seperti itu? Gaji RM3,000 pun kita sudah kata miskin.
“Maka sebab itu kerajaan melaksanakan dasar gaji progresif supaya kakitangan dibayar berdasarkan produktiviti dan keuntungan yang diberi kepada syarikat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM2 bilion bagi melaksanakan dasar gaji progresif untuk meningkatkan gaji kira-kira 1.05 juta pekerja negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi nilai tambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.
Selain itu, beliau menjangkakan tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM790 juta dan hasil cukai pendapatan dijangka RM1.8 bilion pada tahun pelaksanaan. – UTUSAN










