Nafas baharu pembangunan desa di bawah teraju Ahmad Zahid

Nafas baharu pembangunan desa di bawah teraju Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berada pada tahap pencapaian membanggakan di bawah kepimpinan DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI sekali gus meletakkan tanda aras kecemerlangan selepas diberi nafas baharu melalui fasa setahun penjenamaan semula.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menetapkan hala tuju baharu dalam merencana pembangunan desa dan wilayah melalui pelbagai inisiatif mampan ke arah misi luar bandar sejahtera.
Ia seiring Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (2021-2025) melalui komitmen jitu beliau yang dizahirkan melalui kepantasan bertindak, praktikal dan sebati sederap bersama anggota KKDW.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, Ahmad Zahid berkongsi tekad dan matlamatnya yang boleh diterjemahkan dalam menerajui pembangunan infrastruktur asas, sosioekonomi dan modal insan luar bandar menjelang 2025 dengan pelbagai isu luar bandar berjaya disantuni dan meletakkan KKDW pada landasan betul.

 

MINGGUAN: Awal tahun lalu, KKDW dijenamakan semula dan menggariskan empat fokus utama bagi transformasi luar bandar. Sejauh mana ia dicapai dalam tempoh setahun?

AHMAD ZAHID HAMIDI: Kementerian menggariskan empat fokus utama bagi meningkatkan fungsi kementerian demi kemajuan luar bandar merangkumi tumpuan terhadap kesejahteraan desa atau prasarana, modal insan, keusahawanan dan ekonomi desa.
Terdapat beberapa keutamaan baharu turut diberi fokus iaitu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan penduduk luar bandar, kebolehsaingan industri, menggalakkan pelaburan swasta ke kawasan luar bandar serta memperkukuh peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembangunan luar bandar.
Selain itu, kelestarian alam sekitar turut diambil kira dalam membangunkan kawasan luar bandar sekali gus meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi masyarakat desa termasuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.

Berapa ramai kumpulan sasar berjaya dibantu mengikut program yang dilaksanakan dengan jumlah bantuan yang diperuntukkan?
Jumlah keseluruhan kumpulan sasar yang berjaya dibantu ialah seramai 275,259 penerima manfaat melibatkan peruntukan RM750 juta.
Antara program yang didedahkan kepada masyarakat luar bandar ialah Industry Based Education Training (iBET), Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Bantuan Kewangan Pendidikan Pelajar IPT Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melibatkan 61,760 penerima manfaat.
Selain itu adalah program keusahawanan kepada sejumlah 2,215 penerima manfaat merangkumi program seperti Karnival Usahawan Desa (KUD), Digitalisasi Usahawan Desa (DUDE) dan Pemasaran Produk Luar Bandar.
Dalam program berkaitan pemerkasaan ekonomi pula, sejumlah 3,974 menerima faedah merangkumi program seperti Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Pemajuan Kawasan (PPK).
Pada masa sama, program berkaitan pembinaan infrastruktur pula, seramai 207,310 penerima manfaat merangkumi Program Bina Rumah atau Program Perumahan Rakyat Termiskin (Bina baharu atau baik pulih) Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Program Ameniti Sosial (PAMS).

Apakah model pembangunan luar bandar di luar negara yang boleh dijadikan contoh sebagai langkah memajukan luar bandar di samping merapatkan jurang perbezaan di antara luar bandar dan bandar dari segi sosial dan ekonomi.

Perkampungan Sister City, Korea Selatan dan Smart Cities, United Kingdom menjadi model rujukan dalam menyokong usaha mentransformasikan luar bandar.
Namun begitu, usaha mendapatkan petanda aras atau contoh terbaik dalam aspek kemajuan desa tidak hanya tertumpu kepada Korea Selatan semata-mata, sebaliknya diperluaskan lagi dengan menjadikan amalan desa makmur di Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, Eropah sebagai panduan.
Korea Selatan sebagai salah sebuah negara maju harus dicontohi dari segi teknologi dan budaya. Bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee pada 1970 berjaya membawa perubahan besar di kawasan luar bandar sekali gus meletakkan asas kukuh bagi pembinaan sebuah negara bangsa menerusi ‘Saemaul Undong’ iaitu ‘Gerakan Kemajuan Baharu’.
Konsep ini telah mengubah semua kampung dari atap jerami gandum kepada atap genting dan juga membaik pulih rumah serta melatih ketua kampung dengan istilah membina satu negara bangsa.
Konsep ‘Saemaul Undong’ yang digunakan untuk memajukan kampung perlu dicontohi Institusi Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negara ini.
Korea Selatan membuktikan peranan besar ketua kampung dengan berjaya mengubah landskap dan kehidupan masyarakat luar bandarnya dalam tempoh 10 tahun antara 1970 hingga 1980.
Pada tahun 2013, Korea Selatan sekali lagi melakukan transformasi menerusi cogan kata ‘Kami Mengusai Dunia’ dengan pelbagai jenama peralatan elektronik yang dieksport dan digunakan di 18 negara seluruh dunia seperti telefon bimbit jenama Samsung dan kereta KIA. Pembangunan konsep bandar pintar di UK iaitu sebuah bandar yang mempunyai jalinan hubungan antara modal insan, modal sosial dengan infrastruktur teknologi ICT bagi mewujudkan pembangunan ekonomi mampan serta kualiti hidup lebih baik bagi penduduknya.Sesebuah bandar pintar menggunakan pelbagai teknologi terutamanya melibatkan pengumpulan dan penggunaan data untuk mengatasi masalah berkaitan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Projek bandar pintar melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dan syarikat teknologi korporat yang besar dan mampu meningkatkan produktiviti, menambah peluang pekerjaan, memberi faedah kepada alam sekitar dan meningkatkan kecekapan serta akses kepada perkhidmatan awam.

Datuk Seri juga Pengerusi Majlis TVET negara yang kini dilihat berada di landasan betul dengan 12 kementerian yang mempunyai institusi TVET diletakkan di bawah satu jawatankuasa. Apakah usaha untuk membawa TVET ke arah pencapaian lebih tinggi?
Melalui majlis ini, kita berjaya menubuhkan Sekretariat TVET bagi menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara dengan mewujudkan sistem permohonan TVET baharu dikenali sebagai UP_TVET yang berfungsi seperti portal pengambilan pelajar UPU.
Dalam masa singkat, portal ini berjaya mencatatkan rekod permohonan pelajar mengikuti aliran TVET seramai 62,000 orang daripada hanya 15,000 penawaran.
Kita juga berjaya mewujudkan kolaborasi antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri terdiri daripada syarikat dan konglomerat terkemuka seperti Petronas, DRB Hicom, GAMUDA Berhad, Turkish Aerospace Inc., TH Brandenburg University of Applied Sciences dan banyak lagi bagi menjayakan pemerkasaan TVET.

Dengan strategi dan langkah sederap yang diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation (HDC) menampakkan potensi besar sektor sektor ini, apa pendekatan ke arah itu?
Pelan Induk Industri Halal 2030 mensasarkan industri ini untuk berkembang mencapai AS$ 106.1 billion pada tahun ini dan menyumbang 8.3 peratus kepada KDNK menjelang 2025 dan mencipta lebih 484,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Melalui Jakim dan HDC, tumpuan sama turut diberikan dalam memperkasa sektor industri halal negara, dengan merealisasikan proses kelulusan permohonan persijilan halal hanya dalam tempoh 23 hari bekerja berbanding sebelumnya sehingga mencecah satu tahun.
Selain itu, konsep Diplomasi Halal Malaysia turut diperkenalkan sebagai usaha dan inisiatif untuk mempromosikan dan membangunkan ekonomi Halal dalam konteks perhubungan luar negeri.
KKDW melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan Program Gate To Global (GTG) yang akan memberi penekanan terhadap penjenamaan produk keluaran usahawan bumiputera terutamanya dalam kategori barangan konsumer bergerak cepat (FMCG) kepada entiti barangan yang mampu bersaing di pasaran dunia.
Saya juga meminta kementerian lain yang terlibat dalam soal pembiayaan, latihan dan bantuan kewangan bagi produk berteknologi tinggi agar dapat bersama-sama mendakap usaha pembangunan produk halal ini.
MITI serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Tinggi serta beberapa agensi lain turut digesa melaksanakan kempen kesedaran bagi memperlihatkan komitmen dan Kerajaan Madani dalam merealisasikan semua dasar pembangunan halal negara hingga 2030.
Baru-baru ini, Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2023 (WHBC 2023) dianjurkan HDC dan dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Kejayaan persidangan ini menandakan kemajuan ketara dalam industri halal Malaysia dan pengukuhan hubungan antarabangsa.
Potensi Industri Halal negara berjaya menarik minat beberapa institusi untuk bersama-sama menjayakan usaha ini seperti SME Bank, Hong Leong Islamic Bank, Standard Chartered Bank, Alliance Bank, dan Bank Islam Malaysia dengan menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM2.67 bilion (AS$560 juta) bermula tahun depan.

Kita berada di permulaan Monsun Timur Laut (MTL). Di bawah Jawatankuasa Bencana, apakah kesiapsiagaan agensi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhadapan dengan musim tengkujuh?
Selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), NADMA bertanggungjawab memastikan semua cabang agensi terlibat dalam pengurusan bencana di setiap peringkat bersedia menghadapi sebarang bencana sewaktu MTL 2023/2024.
Secara keseluruhannya, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset bagi mengurangkan kesan dan kemusnahan harta benda.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 buah daerah di seluruh negara. Bagi pemantauan dan amaran awal, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) kini beroperasi di 25 lembangan sungai utama negara meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Selain itu, JPS turut bersedia dengan 1,342 buah stesen telemetri hujan dan aras air, 543 buah siren amaran banjir dan 1,526 buah tolok lurus serta 737 buah pam bergerak.
Dari aspek pengurusan kebajikan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia mengaktifkan 8,481 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 2,158,743 mangsa.
JKM juga menerima peruntukan sebanyak RM35.85 juta bagi pengurusan bencana di seluruh negara bertujuan perolehan barang keperluan bencana, penyediaan makanan dan minuman mangsa yang berpindah ke PPS, perolehan makanan retort serta bantuan pemulihan bencana.
JKM juga bersedia memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara bagi menghadapi MTL di lapan buah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di seluruh negara.
Selain itu, JKM juga mempunyai sebanyak 137 buah stor bencana di peringkat negeri dan daerah termasuk 68 buah mini depot. Bagi memastikan bekalan barang keperluan bencana mencukupi terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi terputus hubungan, sebanyak 561 buah pangkalan hadapan disediakan.
Pada masa sama, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diarah untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pula diminta melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya