Mimpi kakak jadi kenyataan, adik maut kemalangan

Mimpi kakak jadi kenyataan, adik maut kemalangan

PUTRAWIRAWAN Irwan (kanan) bersama Nor Ain Zakaria menunjukkan gambar Allahyarham Putra Norsyaqir Putrawirawan ketika ditemui di kediaman mereka di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tidak menyangka mimpi mengenai kemalangan maut yang menimpa keluarganya menjadi kenyataan apabila anak keduanya, Putra Norsyaqir Putrawirawan, 16, maut dalam kemalangan di Jalan Krubong Permai, Krubong, di sini, Ahad lalu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nor Ain Zakaria, 37, berkata, mimpi ngeri itu dialami anak sulungnya melibatkan Putra Norsyaqir yang menceritakan kepadanya dua minggu lalu.

Katanya, mimpi itu sangat jelas sehingga kakak mangsa boleh mengingati lokasi, waktu dan situasi semasa kejadian.

“Cuma saya tidak rasa apa-apa yang pelik tetapi tetap menasihati Putra Norsyaqir agar berhati-hati. Bagaimanapun, setelah kemalangan sebenar berlaku baru saya sedar itu antara petanda awal yang Allah tunjukkan.

“Ketika kejadian saya baru pulang dari kerja dan singgah di kedai berhampiran rumah untuk membeli barang. Kemudian saya dapat panggilan daripada anak mengatakan Putra Norsyaqir terlibat kemalangan.

“Walaupun saya ada berdekatan, saya tidak kuat untuk melihat keadaan arwah yang sedang menahan kesakitan. Hati saya luluh dan hanya mampu berdoa mengharapkan anak selamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Beringin, Batu Berendam di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pemandu kereta Perodua Axia yang menyebabkan kematian dua pelajar tingkatan empat di Jalan Krubong Permai didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan pembonceng motosikal, Erwan Idris, 16, maut di tempat kejadian, manakala Putra Norsyaqir selaku penunggang meninggal dunia di Hospital Melaka.

Sementara itu, bapa Putra Nosyaqir, Putrawirawan Irwan, 43, berkata, dia mendapat berita tentang kematian anaknya ketika sedang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, dia berasa terkilan apabila kehilangan anak dan anak angkatnya sekali gus dalam situasi yang tidak sepatutnya berlaku.

“Erwan seperti anak saya sendiri dan mereka berdua memang akrab sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kemana-mana pasti bersama sehingga dijemput ajal pun pada hari sama.

“Bagaimanapun, saya sedikit kecewa apabila kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak lain. Saya akan buat laporan polis dan berusaha untuk mendapatkan keadilan bagi mereka berdua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN