PETALING JAYA: Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Suhan Pansha menggesa Lembaga Penapisan Filem (LPF) beri penjelasan berhubung penayangan babak berunsur lucah dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah yang kini hangat diperkatakan.
Kata Pansha, dia hairan bagaimana babak sedemikian boleh lepas tayangan di stesen televisyen sedangkan LPF telah meletakkan pegawai mereka di stesen televisyen untuk memantau dan menilai sebarang kandungan yang dipertontonkan kepada umum.
“Macam mana boleh terlepas pandang? Dan bagaimana babak sebegini boleh lulus tayang? Elok soalan ini ditujukan kepada LPF, mereka kena jawab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Babak berunsur lucah, membabitkan pelakon, Amir Ahnaf dan seorang pelakon wanita itu telah mengundang kecaman netizen.
Babak tersebut menunjukkan pelakon wanita terbabit keluar dari bawah meja sambil Amir yang membawakan watak Farid membetulkan zip seluarnya.
Pansha dalam pada itu menentang tindakan menormalisasikan babak-babak berunsur lucah atau ‘double meaning’ dalam drama atau filem tempatan.
Katanya, babak-babak sebegitu tidak sihat dan mudah mempengaruhi penonton khususnya golongan bawah umur.
“Saya hairan babak begini lulus tayangan di stesen TV, kalau di platform OTT tidaklah mengejutkan sangat. Penerbit atau stesen TV kena hati-hati apabila menayangkan sesebuah drama dan filem kepada umum.
“Babak double meaning atau lucah ini tidak sesuai dipertontonkan sebab yang menonton juga dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
“Kita tak boleh terikut-ikut negara luar bahkan ada garis panduan yang kita kena patuh. Apa pun LPF kena jelaskan,” tambahnya.