Menteri, timbalan tidak hormat Senator lantikan 'tangkap muat'

Menteri, timbalan tidak hormat Senator lantikan ‘tangkap muat’

wakil rakyat
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lantikan Senator Dewan Negara seperti ‘tangkap muat’ antara faktor institusi itu tidak dihormati sehingga ada menteri dan timbalan menteri tidak menghadiri sesi perbahasan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, ini kerana pelantikan tersebut dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan syor Perdana Menteri, sekali gus Senator-senator yang dilantik perlu ‘sujud’ kepada apa yang diputuskan kerajaan.

“Memang lantikan Senator itu tangkap muat dan tidak ada justifikasi yang rasmi mengikut perkara 45 (2). Pelantikan yang dibuat sekarang ini adalah mengikut syor Perdana Menteri bagi mengukuhkan pengaruhnya dalam sosial politik negara.

“Bila seseorang itu dilantik, ada political win, maka orang itu perlu ‘sujud’ setelah dia dilantik. Itu tidak dapat dielak dan syor yang kami kemukakan bersama Tan Sri Wan Junaidi (Yang Dipertua Dewan Negara) eloklah dihidupkan semula yang mana isu induk kepada penggubalan dasar baharu Parlimen di bawah transformasi Perdana Menteri yang dihebohkan setahun setengah lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wan Junaidi sebelum ini menegur sikap segelintir menteri yang gagal hadir ke persidangan Dewan Negara dan mempersoalkan apakah Dewan itu sangat rendah kedudukannya sehingga ada menteri tidak pernah hadir ke persidangan.

Kelmarin, sebanyak 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senator Dewan Negara dan ahli jawatankuasa kepimpinan masyarakat setempat.

Mereka berkata, desakan itu dibuat bagi menegakkan demokrasi serta menghentikan amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih serta melantik perwakilan.

Rais berkata, antara cadangan yang boleh digunakan supaya Senator Dewan Negara tidak menjadi rubber stamp adalah melantik beberapa individu sebagai panel bagi menilai kelayakan mereka sebelum dilantik.

“Panel perlu dilantik untuk menasihat Perdana Menteri yang membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan satu latar yang dikatakan bebas,” katanya.

Rais berkata, pelantikan Senator Dewan Negara itu haruslah meliputi lapan aspek iaitu perkhidmatan awam, profesyen, komersial, industri pertanian, hal ehwal kebudayaan, khidmat sosial, perwakilan minoriti Orang Asli.

“Saya sebagai orang yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun melihat peruntukan ini tidak diikuti dan menyalahi perkara asas. Ketika saya memegang jawatan Speaker Dewan Negara, saya sudah bangkitkan, malah saya telah sampai kepada Yang di-Pertuan Agong secara lisan. Malangnya hal ini tidak dibuat penyusulan dan habis begitu sahaja.

“Jadi saya memohon Yang di-Pertuan Agong akan datang membuat beberapa titah supaya anggota senator baru tertakluk kepada tapisan ketat dan tidak hanya diputuskan oleh Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Malah jelas Rais lagi, antara cadangan yang turut boleh digunakan supaya senator Dewan Negara tidak menjadi rubber stamp adalah melantik beberapa individu sebagai panel bagi menilai kelayakan individu berkenaan sebelum dilantik menjadi senator Dewan Negara.

“Panel perlu dilantik untuk menasihat Perdana Menteri yang membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan satu latar yang dikatakan bebas.

“Perlu diingat, undang-undang dalam Dewan Negara lebih penting dari Dewan Rakyat kerana Dewan Negara adalah pemutus dan boleh sesuatu dasar,” ujarnya lagi.

Rais dalam masa yang sama turut bersetuju dengan langkah dan cadangan supaya senator Dewan Negara turut dipilih rakyat.

“Pandangan saya komposisi senator masa depan mesti mendapat perhatian elektorat. Jika perlu, ahli Dewan Negara juga boleh dipilih rakyat. Malah dalam perkara 45 (4), Parlimen juga boleh membuat undang-undang untuk menambah ahli sentor bagi setiap negeri,” ujarnya lagi.

Semalam, sebanyak 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senator Dewan Negara dan ahli jawatankuasa kepimpinan masyarakat setempat.

Mereka berkata, desakan itu dibuat bagi menegakkan demokrasi serta menghentikan amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih serta melantik perwakilan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN