MBSP perhebat penanaman pokok tingkat kelestarian negeri - Utusan Malaysia

MBSP perhebat penanaman pokok tingkat kelestarian negeri

AZHAR Arshad (kanan) dan Shadan Othman menanam pokok Melaka di Robina Eco Park, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Usaha penanaman pokok diperhebat di Pulau Pinang bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan penduduk setempat sekali gus memainkan peranan penting dalam perbandaran yang lebih lestari.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad berkata, langkah itu sejajar dengan visi Penang 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

Katanya, sejak dari tahun 2008 sehingga bulan lalu, MBSP telah menanam sebanyak 113,593 pokok di seluruh Seberang Perai.

“Untuk menjayakan program penanaman pokok di sini, kita telah melaksanakan banyak program penanaman pokok secara besar-besaran.

“Kita punya hala tuju yang jelas iaitu menyasarkan negeri ini menjadi bandar neutral karbon pada tahun 2030 seterusnya bandar sifar karbon pada tahun 2050.

“MBSP memberi penekanan terhadap peranannya sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyediakan ruang hijau dan selamat kepada penduduk dan masyarakat setempat serta mengekalkan udara yang bersih dan persekitaran yang sihat,” katanya.

Beliau berucap pada Program Penanaman Pokok Melaka Sempena Konvoi Jemputan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 di Robins Eco Park, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman yang turut menyumbangkan empat anak pokok Melaka sempena TMM 2024.

Dalam majlis sama, MBSP dilantik sebagai PBT angkat negeri dan menerima tiga anak pokok Melaka yang ditanam di taman terbabit.

Sementara itu, Shadan berkata, siri jelajah tersebut bersempena hasrat merancakkan promosi TMM 2024.

“Pulau Pinang adalah negeri ketiga yang kami jelajahi selepas Kelantan dan Kedah.

“Melaka dan Pulau Pinang memiliki persamaan iaitu kedua-duanya diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Oleh itu, program ini turut menjadi platform untuk kami bertukar-tukar idea yang boleh diimplementasi untuk memperkasakan PBT negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya