Mavcom tiada deposit syarikat penerbangan dapat lesen ASL 

Mavcom tidak letak syarat deposit syarikat penerbangan dapat lesen ASL 

ANTHONY Loke Siew Fook pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. - GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak mensyaratkan keperluan untuk syarikat penerbangan baharu atau sedia ada yang telah mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk meletakkan deposit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana syarat tersebut tidak diamalkan dalam industri penerbangan atau oleh pihak berkuasa penerbangan di mana-mana negara lain.

“Walau bagaimanapun, Mavcom mensyaratkan supaya syarikat-syarikat penerbangan memiliki ekuiti positif yang boleh menampung operasi syarikat sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga ke enam bulan berdasarkan cadangan pelan perniagaan yang dikemukakan.

“Mavcom kini dalam rangka kerja dan penyelidikan awal untuk mencari alternatif lain bagi melindungi penumpang-penumpang sekiranya syarikat tersebut terus menggantung operasinya,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu meminta kerajaan menyatakan jika terdapat keperluan bagi syarikat yang telah mendapatkan ASL untuk meletakkan deposit dengan Mavcom.

Menjawab soalan tambahan Vell Paari jika pihak berkuasa menjalankan audit secara terperinci kepada syarikat penerbangan tempatan sebelum dan selepas memulakan operasi mengambil contoh situasi berlaku terhadap MYAirline Sdn. Bhd., Siew Fook berkata, langkah itu memang dijalankan selain melihat kedudukan kewangan syarikat.

“Memang dari segi penilaian syarikat penerbangan ini atau pemegang lesen amat ketara dari segi sebelum mereka mendapat lesen ASL, mereka juga diaudit dan dinilai di pelbagai peringkat dalam Mavcom.

“Apabila selepas mendapat lesen dan memperbaharui lesen, kerajaan akan melihat kemampuan kewangan mereka dari segi operasi. Kalau aliran tunai tidak cukup kuat, mungkin lesen tidak dapat diperbaharui atau tempoh masa pendek sahaja diberikan,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, MYAirline dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh yang diberitahu.

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya