KULIM: Seorang lelaki berusia 20-an maut selepas motosikal dinaikinya terbabas ke ruang solat Masjid Jamek Darul Aman dalam kemalangan di Guar Lobak, Padang Serai, di sini hari ini.
Bilal masjid berkenaan, Shukri Mohamad berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.45 pagi ketika dia sampai ke masjid tersebut untuk melaungkan azan Subuh.
“Kira-kira dua minit selepas sebuah van kilang beredar dari pintu pagar, tiba-tiba sebuah motosikal meluru laju dan melanggar tiang dalam masjid.
“Motosikal yang ditunggangi lelaki itu terlebih dahulu merempuh tembok kolah sebelum terbabas ke ruang solat dan ruang terbuka masjid.
“Saya terus meluru ke arah mangsa dan lihat ketika itu mangsa berlumuran darah, lalu saya mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum beberapa jemaah lain tiba membantu menghubungi ambulan serta polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Shukri, kemalangan itu adalah yang pertama berlaku di dalam masjid berkenaan yang terletak di simpang tiga jalan Guar Lobak dan Jalan Sidam Kanan.
“Kemalangan terbabit berlaku begitu pantas dan kami bersimpati dengan kejadian itu serta mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya. -UTUSAN