PETALING JAYA: “Ke mana lagi kami harus pergi? Penduduk di Khan Younis dan Rafah sebelum ini hanya sekitar 500,000 orang, namun sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu jumlahnya meningkat kepada 1.5 juta orang.”
Itu reaksi graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berasal dari Khan Younis, Gaza, Asmaa Hussein Eslayeh, 30, ketika ditanya sama ada dia dan keluarganya akan meninggalkan rumahnya seperti diarahkan rejim Zionis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asmaa yang merupakan graduan ijazah sarjana dalam jurusan Optometri berkata, arahan meninggalkan daerah Khan Younis dikeluarkan tentera Israel melalui sebaran risalah dari udara kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik serangan bertali arus di daerah Khan Younis, tentera Israel turut menyasarkan kawasan di sekitar Rafah sebaik sahaja gencatan senjata ditamatkan pada Jumaat lalu.
“Tiada tempat yang selamat untuk kami tuju ketika ini. Buat sementara waktu, kami tidak bercadang meninggalkan kediaman. Saya minta semua doakan kami selamat,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Asmaa yang kini sedang menunggu mendapat tajaan biasiswa untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UKM dalam jurusan sama berkata, kehidupan rakyat Palestin di Gaza kini ‘terhenti’ lagi selepas menarik nafas lega seketika ketika gencatan senjata dicapai.
Menurutnya, segala barangan keperluan untuk teruskan hidup di dalam Gaza sudah pun kehabisan stok pada suatu jangka masa sangat lama namun pada masa sama, bantuan kemanusiaan yang tiba sedikit jumlahnya berbanding sebelum perang bermula.
“Sebelum peperangan meletus, sekitar 500 hingga 800 trak masuk ke Gaza dalam sehari dengan membawa pelbagai bekalan keperluan 2.3 juta rakyat, namun kini hanya 200 trak sahaja. Itu pun sangat terhad.
“Ketika peperangan mula meletus, langsung tiada trak dibenarkan masuk menghantar bantuan untuk beberapa minggu lamanya. Sepanjang kempen serangan, banyak perusahaan tempatan yang menyediakan bekalan makanan dan sebagainya menjadi sasaran serta dimusnahkan.
“Penderitaan kami tidak berakhir di situ, penduduk dari bahagian utara pula menjadi pelarian di sekitar Khan Younis dan Rafah. Kini, secara umumnya kedua-dua kawasan tersebut menempatkan kira-kira 80 peratus keseluruhan rakyat Gaza,” katanya.
Beliau berkata, kehidupan rakyat Palestin secara umumnya berubah 360 darjah dengan segala-galanya amat terhad, bukan saja bekalan makanan, air, ubatan, telekomunikasi malah pergerakan mereka juga.
“Apa yang kamu tonton dalam dokumentari kemahiran survival, realiti kehidupan kami di sini jauh lebih susah daripada itu,” katanya sambil menambah kediaman keluarganya di Khan Younis kini turut didiami oleh dua keluarga lain. – UTUSAN










