KUALA LUMPUR: Malaysia kesal terhadap Amerika Syarikat (AS) yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan melibatkan kezaliman terhadap kanak-kanak dan wanita.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu dunia menemplak serta membantah tindakan negara kuasa dunia itu yang dianggap membunuh dan melakukan keganasan harian terhadap golongan berkenaan.
“Namun, masih saya kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaaan.
“Sekarang, kalau kita hendak menilai AS dari segi demokrasi, hak asasi kemanusiaan, nampaknya kita tangguh dulu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.
Program selama tiga hari tersebut dijangka berakhir esok.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, sambutan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani sangat menggalakkan dengan mendapat kerjasama daripada jabatan kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Khazanah sangat memuaskan.
“Saya minta pengunjung terutama anak muda untuk teliti satu kementerian ke satu kementerian, melihat langkah-langkah diambil dan memanfaatkan daripada kemudahan yang diumum oleh kerajaan.
“Saya saksikan minat rakyat bertambah baik. Jika nampak begini, kita mungkin menyumbang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan sama ada kita boleh pindahkan kegiatan pameran seperti ini supaya memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri di seluruh negara kita,” katanya. -UTUSAN