Lelaki terjun Jambatan P. Pinang selepas dipercayai tetak mati teman wanita - Utusan Malaysia

Lelaki terjun Jambatan P. Pinang selepas dipercayai tetak mati teman wanita

SEORANG wanita maut ditetak di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pemuda yang nekad terjun di Kilometer 3.4, Jambatan Pulau Pinang, pagi tadi dipercayai mahu membunuh diri selepas menetak mati teman wanitanya di Jalan Raja Uda, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun diselamatkan nelayan sebelum ditahan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK).

Menurut beliau, terdahulu pihaknya mendapat maklumat seorang wanita berusia 42 tahun ditetak seorang lelaki pada bahagian leher menggunakan sebilah parang di kawasan Jalan Raja Uda, kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan meninggal dunia. Mangsa dipercayai teman wanita suspek.

“Pada pukul 11.58 pagi, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU bersama pasukan forensik hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Pemeriksaan terhadap mayat menemukan kesan tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri si mati,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Mohd. Asri berkata, siasatan turut mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran yang merakam kejadian tersebut selain saksi yang turut melihat kejadian itu.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau dalam pada itu memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Nasrina Darus ditalian 04 – 576 2222 (sambungan: 2275) atau hadir ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya