KUALA LUMPUR: Suspek lelaki dipercayai membunuh ibu dan bapanya di sebuah rumah di Sungai Penchala di sini, semalam didapati positif tiga jenis dadah dan mempunyai sembilan rekod jenayah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pemeriksaan saringan ujian air kencing mendapati suspek berusia 42 tahun itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kes jenayah sejak Januari 2016 hingga November lalu. Malah, suspek baru dituduh pada 1 Disember lalu di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000.
“Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, semalam.
Dalam pada itu, Allaudeen berkata, pemeriksaan awal terhadap kedua-dua mangsa berusia 82 tahun dan 72 tahun itu menemukan beberapa kesan tikaman pada badan mereka.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak dapat dipastikan punca sebenar kematian.
“Bedah siasatan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.
Beliau berkata, polis turut menemukan beberapa senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu antaranya mata pisau, dua hulu pisau, topi keledar, satu meja kayu bulat, batang kayu, serpihan kayu dan sepasang kasut berwarna hitam dipercayai milik suspek.
Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki mereka dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Suspek melarikan diri ke hutan sebelum ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini pada 10.30 malam.
Difahamkan, sebelum kejadian berlaku pergaduhan antara pasangan itu dan anak lelaki mereka dipercayai penagih dadah. – UTUSAN