PETALING JAYA: Lebih tujuh juta permohonan diterima Kementerian Kewangan bagi inisiatif kredit RM100 eMadani setakat pukul 5 petang semalam sejak mula dibuka kelmarin.
Jumlah pendaftaran yang luar biasa itu menyebabkan timbul beberapa masalah teknikal terutama pada peringkat awal pembukaan pendaftaran, tetapi berjaya ditangani dan kembali berfungsi seperti biasa.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan meminta para pemohon bersabar dan memohon maaf terhadap apa juga kesulitan yang timbul dalam proses tersebut.
Orang ramai juga diingatkan bahawa permohonan program eMadani dibuka sehingga 20 Februari 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, tuntutan kredit secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.
Bantuan itu disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, jumlah pemohon itu amat besar dan sudah tentu memerlukan sedikit masa bagi membuat pengesahan identiti pemohonan dan seterusnya membuat penyaluran kredit.
“Saya ada dapat maklum balas dan baca laporan media tentang ada menyatakan terpaksa tunggu lama selama lima hari, tapi bila kita semak dengan MOF (Kementerian Kewangan) ada sedikit salah faham dan saya rasa laporan telah dibetulkan, iaitu sehingga lima hari, sepantas sehari, paling lama lima hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV semalam bagi mengulas isu penebusan tunai itu di media sosial.
Bantuan itu disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.
Dalam pada itu, Fahmi menasihati orang ramai tidak terpedaya dengan helah scammer atau penipu yang menawarkan khidmat penebusan tunai (cash out) bagi kredit e-tunai RM100 itu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, aktiviti penipuan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini dilihat semakin berleluasa setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bantuan untuk rakyat.
“Contohnya dulu, sewaktu diumum boleh keluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), macam-macam scam berlaku, apabila diumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), macam-macam juga berlaku. Samalah untuk eMadani.
“Tolong hati-hati, baca betul-betul (syarat)…jangan cash out, sebab kalau ada siapa-siapa kata dia boleh bagi duit, dijamin dia tak akan bagi duit, kita akan hilang RM100,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memaklumkan nilai kredit tidak boleh digunakan bagi pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai sebaliknya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan seluruh negara. –UTUSAN










