Kes Sulu: Hari ini hari yang penting buat Malaysia - Azalina

Kes Sulu: Hari ini hari yang penting buat Malaysia – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penimbang tara yang bertanggungjawab menganugerahkan pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu, Gonzalo Stampa akan dituduh di Mahkamah Madrid, Sepanyol atas dakwaan jenayah hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Stampa akan menghadapi tuduhan jenayah menghina mahkamah yang serius serta amalan profesion tanpa kelayakan.

Menurutnya, kes tersebut dibawa oleh Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia kerana Stampa dengan terbuka dan sedar telah mengingkari beberapa perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Sepanyol.

“Stampa telah berkali-kali diberitahu bahawa kuasanya sebagai penimbang tara telah ditarik balik namun masih membuat keputusan pemberian anugerah selepas berpindah ke Paris, Perancis.

“Dia dibayar sebanyak AS$2,500,000 untuk keputusan tersebut. Tindakannya dibuat tidak mengikut sistem penimbang tara antrabangsa,” katanya melalui satu ciapan di laman X miliknya hari ini.

Azalina berkata, pendakwaan jenayah terhadap Stampa oleh Mahkamah Madrid akan menjadi permulaan keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia yang menjadi mangsa berkaitan penipuan melibatkan AS$14.9 bilion.

“Malaysia memberi kepercayaan penuh terhadap sistem keadilan di Sepanyol,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar anugerah yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.

Stampa telah memberikan anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN