PETALING JAYA: “Ada kereta hon saya, untuk bagitahu kereta sedang terbakar. Tetapi saya tak nampak sebab apinya di bawah kereta.”
Demikian kenyataan pelakon, Roy Azman yang berkongsi detik cemas apabila kereta yang dipandu bersama isteri dan anak bongsunya terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah malam semalam.
Kongsi Roy atau Zairosminan Abdul Rahman, 53, mereka sekeluarga yang baru pulang dari menikmati makan malam itu bernasib baik kerana sempat keluar dari kenderaan yang sedang terbakar itu.
“Kejadian berlaku dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar pukul 11 malam. Bila sedar kereta sedang terbakar, nak berhenti pun tak boleh. Brek tak makan.
“Mujur brek tangan berfungsi. Kami sekeluarga sempat keluar dari kereta yang ketika itu memang sedang marak dijamah api. Alhamdulillah,” ceritanya.
Pelakon yang popular dengan naskhah komedi itu berkongsi momen tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik pagi tadi.
Kongsi Roy lagi, dia baru sahaja mengambil kereta tersebut daripada bengkel dan tidak menyangka kenderaan tersebut akan terbakar 100 peratus.
“Mujurlah kami sempat berhenti dan tidak langgar pembahagi jalan. Memang kereta tersasarsedikit tetapi sempat berhenti dan kami terus keluar,” ujarnya.
Terdahulu, Roy memuat naik video dan gambar keretanya sedang terbakar itu di media sosial kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, pelakon itu hanya memaklumkan keadaan keluarganya yang selamat tanpa mendedahkan waktu kejadian dan lokasi kejadian.
“Salam semua, Alhamdulillah saya, isteri dan anak bongsu sempat lari keluar kereta, syukur.
“Terima kasih Datuk Eg, Datin Heykal, Faezah, Yusof dan Akmal datang teman buat laporan,” tulisnya di hantaran itu.
Dalam gambar yang dimuat naik, turut kelihatan beberapa anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman.